NGO mahu edar sumbangan, tapi kerajaan tak membantu

NGO mahu edar sumbangan, tapi kerajaan tak membantu

Kumpulan NGO itu berkata semua panggilan telefon ke Jabatan Kebajikan Wilayah Persekutuan tidak dijawab sepanjang hari.

Sukarelawan memberi bantuan makanan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Kumpulan sukarelawan mengeluh kesukaran menjalankan kerja amal dan bantuan mereka kerana prosedur kerajaan yang selalu berubah-ubah.

Ananti Rajasingam, yang menjalankan gerakan Yayasan Chow Kit, berkata agensi kerajaan yang terlibat dilihat tidak mempunyai garis panduan yang jelas untuk dirujuk.

Beliau berkata gerakan itu, yang mengagihkan bantuan kepada yang memerlukan di Kuala Lumpur, terpaksa berulang-alik (melibat urus) antara polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang semuanya mempunyai respons yang berbeza.

Ananti berkata, Yayasan Chow Kit sudah menulis surat kepada ibu pejabat JKM di Putrajaya sebelum diumumkan bahawa Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) akan mengeluarkan surat kebenaran selepas mendapat pengesahan dari kementerian yang memantau pelbagai sektor.

“Empat hari ‘lockdown’, kami belum dapat kebenaran dari ibu pejabat JKM,” katanya. “Mereka meminta kami untuk mendapatkan kebenaran dari Jabatan Kebajikan daerah.”

Kata Ananti, semua panggilan dibuat ke Jabatan Kebajikan Wilayah Persekutuan tidak dijawab sepanjang hari, tetapi Yayasan Chow Kit berjaya mendapatkan surat dari DBKL yang membolehkannya mengagihkan bantuan.

“Bagaimanapun, polis berkata kami perlu mendapatkan kebenaran JKM. Kita sekarang hanya tersekat.

“Kita telah merancang untuk mengedarkan barangan runcit kerana banyak keluarga telah meminta kami untuk bantuan makanan,” katanya.

Aktivis sosial Hayati Ismail memberitahu FMT, beliau berdepan masalah yang sama, dengan tiada Jabatan Kebajikan daerah yang menjawab panggilan pasukannya.

Katanya lagi, maklumat mengenai cara mendapatkan kebenaran untuk kerja sosial yang didapati hanya sedikit.

“Kami mengambil jalan pintas dengan membayar ‘runner’ untuk membantu kami menyampaikan bantuan makanan ke tempat-tempat yang perlu kami hantar,” katanya, sambil menambah pasukannya telah menggunakan kaedah itu sejak perintah kawalan pergerakan pertama (PKP).

Katanya, kerajaan perlu belajar dari PKP sebelum ini dan mengembangkan sistem aplikasi yang lebih baik, “mungkin dalam talian”.

“JKM memerlukan sistem yang lebih sistematik dan cekap. Kami cuba untuk menolong orang disini tapi ada masalah,” katanya.

Kalaivani Rajeswaran, pengasas perkhidmatan penjagaan selepas bersalin Precious 30 Days, memberitahu FMT, pasukannya tidak dapat bekerja semasa ‘lockdown’ kerana kumpulan itu disenaraikan sebagai penyedia perubatan tradisional, perkhidmatan yang tidak perlu.

Jelasnya, sangat penting bagi ibu-ibu bandar untuk mendapat akses ke rawatan bersalin, sambil menambah banyak dari mereka bekerja di Lembah Klang jauh dari keluarga mereka.

“Ibu bapa mereka tidak boleh merentas daerah untuk menolong mereka,” katanya. “Perkhidmatan kami juga tidak dibenarkan. Ini menyukarkan para bakal ibu ini.

“Kami akan menghargainya sekiranya sektor kebajikan untuk ibu bersalin termasuk dalam perkhidmatan perlu dan kami dibenarkan untuk membuat perjalanan sejauh 10km,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.