Tak mahu singgung mana-mana pihak, UTM perjelas sebab program libat pakar tarian India dibatal

Tak mahu singgung mana-mana pihak, UTM perjelas sebab program libat pakar tarian India dibatal

Ramli dijadualkan menyertai 'Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa' hari ini, tetapi diberitahu petang semalam acara itu dibatalkan atas arahan pusat Islam universiti berkenaan.

UTM turut menzahirkan permohonan maaf kepada Ramli Ibrahim dan mengharapkan sokongan berterusan pihaknya terhadap program universiti pada masa depan menerusi platform berbeza. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjelaskan Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa yang dijadualkan berlangsung hari ini melibatkan Ramli Ibrahim dibatalkan kerana tidak mahu menyinggung mana-mana pihak.

“Mesyuarat Pengurusan Pusat Islam UTM telah bermusyuwarah dan bersepakat menasihatkan agar pelaksanaan program ini tidak diteruskan atas faktor kesesuaian program.

“Keputusan Pusat Islam UTM mewakili pendirian universiti, menitikberatkan pengisian program yang tidak menyinggung mana-mana pihak serta seimbang daripada pelbagai aspek termasuk kepelbagaian, kesejahteraan dan kerohanian,” kata universiti itu dalam kenyataan.

Respons berkenaan menyusul laporan FMT yang mendedahkan kekecewaan penari klasik legenda itu selepas UTM mengarahkan pembatalan program terbabit pada saat akhir tanpa menghuraikan puncanya dengan lebih lanjut.

UTM berkata, universiti itu baru saja menjalani tempoh perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai 21 Mei hingga 3 Jun berikutan penularan kes jangkitan Covid-19 di kampus Johor Bahru.

“Susulan PKPD tersebut, pengoperasian universiti sedang melalui fasa transisi dan juga PKP yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Pelbagai program serta tindakan sedang dirangka dan disusun bagi menggerakkan kembali operasi universiti seperti aktiviti melibatkan pelajar termasuk Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa yang dijadualkan berlangsung hari ini,” katanya.

UTM berkata, program berkenaan merupakan antara aktiviti pengisian dirancang bawah program kolej menerusi program induk Minggu Seni Tun Razak (MISTAR ’21).

Katanya, program secara dalam talian itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar UTM dan universiti awam (UA) lain untuk berkongsi bakat karya seni masing-masing.

“Selain itu, memberi pendedahan terhadap bidang seni mengikut peredaran zaman, memupuk minat terhadap bidang kesenian dalam diri pelajar serta mengeratkan rangkaian kerjasama antara UTM dengan UA lain,” katanya.

UTM turut menzahirkan permohonan maaf kepada pihak Ramli dan mengharapkan sokongan berterusan pihaknya terhadap program universiti pada masa depan menerusi platform berbeza.

Sementara itu, UTM berkata program MISTAR ‘21 masih berlangsung dengan pelbagai aktiviti antaranya Bual Bicara Revolusi Seni Rumah Kita, Program Seni Catan Air, Bual Bicara Terrarium, dan Program Kenali Wayang Wong.

“Penganjuran program aliran kebudayaan dan kesenian ini perlulah diteruskan berlandaskan Garis Panduan Peraturan Kebudayaan dan Kesenian UTM agar keunikan dan kepelbagaian budaya yang kita nikmati selama ini kekal terpelihara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.