Edar dadah dalam alat permainan guna kurier, 6 lelaki diberkas

Edar dadah dalam alat permainan guna kurier, 6 lelaki diberkas

Pengedaran dadah melalui perkhidmatan kurier dengan menyembunyikannya di dalam alat permainan kepada pelanggan dari luar negara.

Polis mendapati suspek mengambil upah untuk mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kurier dengan menyembunyikannya di dalam alat permainan kepada pelanggan dari luar negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis mengesan pengedaran dadah melalui perkhidmatan kurier dengan menyembunyikannya di dalam alat permainan kepada pelanggan dari luar negara.

Susulan itu, tiga lelaki ditahan dalam beberapa serbuan di sini, Cheras dan Kuala Lumpur pada Rabu dan Khamis lepas kerana dengan sindiket pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata serbuan dan penahanan tiga lelaki terbabit berikutan laporan daripada seorang pekerja syarikat kurier berhubung empat kotak bungkusan yang mencurigakan.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka mengambil upah untuk mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kurier dengan menyembunyikannya di dalam alat permainan kepada pelanggan dari luar negara,” katanya, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin seberat 1,211.35 gram (g); syabu (0.42 g); dan ekstasi (0.56 g) yang dianggar bernilai RM42,455.

Polis turut merampas dua kereta iaitu Mazda dan Nissan GTR, wang tunai RM162,500, pelbagai mata wang asing dan tujuh utas jam tangan yang keseluruhannya bernilai RM1.14 juta, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Mohamad Fakhrudin berkata seorang daripada lelaki yang ditahan itu positif dadah dan kesemua mereka kini direman. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamad Fakhrudin berkata polis menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan di sekitar Petaling Jaya apabila menahan lima lelaki berumur 22 hingga 36 tahun pada Khamis lepas.

Beliau berkata dua lelaki ditahan dalam serbuan di Desa Mentari pada 12 tengah hari ketika mereka sedang meleraikan komponen kereta yang dipercayai dicuri manakala tiga lagi termasuk dua warga asing ditahan di sebuah premis barangan lusuh di kawasan yang sama.

“Polis menemukan pelbagai jenis rangka kereta, tujuh enjin kereta dan alat meleraikan komponen kereta. Kami percaya berjaya menyelesaikan empat kes curi kereta yang dilaporkan di sini dan beberapa kawasan di sekitar Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.