Wanita boleh jadi pemimpin lebih prihatin, empati kepada rakyat, kata Wan Azizah

Wanita boleh jadi pemimpin lebih prihatin, empati kepada rakyat, kata Wan Azizah

Penasihat PKR itu yakin lebih ramai wanita dalam PKR akan diangkat sebagai calon dalam PRU15.

Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kajian Harvard Business Review bertarikh Jun 2019 mendapati wanita mempunyai kelebihan dalam beberapa perkara dan dipercayai 84% lebih efektif dalam ukuran kompetensi.
PETALING JAYA:
Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, wanita mampu menjadi pemimpin masyarakat dan negara yang lebih prihatin serta empati kepada rakyat.

Beliau memetik kajian Harvard Business Review bertarikh Jun 2019 yang mendapati wanita mempunyai kelebihan dalam beberapa perkara dan dipercayai 84% lebih efektif dalam ukuran kompetensi.

“Antaranya dalam hal-hal mengambil inisiatif, lebih ‘resilient’ atau berdaya tahan, suka kepada pembangunan kendiri, berbuat sesuatu dengan dorongan keputusan, mempamerkan integriti tinggi serta jujur,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Wanita PKR ke-15 secara maya.

Oleh itu beliau yakin lebih ramai wanita dalam PKR akan dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Tetapi langkah ini bukan untuk mencabar lelaki. Namun kita sama-sama permudahkan proses ini.”

Ahli Parlimen Pandan itu turut menyeru Wanita PKR supaya melipatgandakan usaha meraih sokongan rakyat, termasuk menambah jumlah keahlian sebagai persiapan menghadapi PRU15.

“Walaupun berdepan kemelut yang pelbagai, saya bangga dan bersyukur melihat keanggotaan kita semakin bertambah dari hari ke hari. Ini petanda parti kita masih relevan dan mendapat tempat di hati rakyat.

“Untuk menang, kita harus kekal relevan di hati rakyat. Untuk menang, kita harus menjadi kelompok yang dipercayai rakyat dan dilihat mampu memberi harapan kepada penyelesaian masalah,” katanya sambil memaklumkan PKR kini mempunyai 2,028 cawangan di seluruh negara.

Beliau mengingatkan Wanita PKR supaya menguasai isu dasar dan kerap turun padang menemui rakyat.

“Bila kita kelak berada dalam kalangan mereka yang menggubal dasar di Parlimen, bahkan juga Dewan Undangan Negeri, wanita di luar sana khususnya dan masyarakat lain umumnya, mahu kita menjadi suara mereka, cakna dengan isu-isu semasa dan mampu mencadangkan penyelesaian terbaik berhubung permasalahan rakyat.”

Katanya, pelbagai halangan ditempuhi sepanjang 22 tahun PKR ditubuhkan, termasuk daripada puncak menguasai Putrajaya sebagai pemerintah sehingga episod pengkhianatan dan kemelut perpecahan dalam parti, namun ia tidak melemahkan parti itu.

Beliau mendakwa PKR juga semakin terkenal selepas Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, Amanah, DAP dan Bersatu pada PRU14 lalu bersetuju menggunakan lambang parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.