Tumpu ujian di kawasan penularan tinggi, kata bekas timbalan menteri

Tumpu ujian di kawasan penularan tinggi, kata bekas timbalan menteri

Dr Lee Boon Chye berkata, keadaan akan berbeza jika kerajaan melabur dalam ujian besar-besaran sejak mula lagi.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kapasiti maksimum Malaysia sebanyak 200,000 ujian sehari jauh daripada mencukupi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan menteri kesihatan berkata, kapasiti ujian saringan negara yang terhad sepatutnya ditumpukan kepada lokaliti dengan penularan tinggi dan kumpulan berisiko tinggi.

Dr Lee Boon Chye berkata, kapasiti maksimum Malaysia sebanyak 200,000 ujian sehari adalah jauh daripada mencukupi.

Mengulas gesaan supaya ujian saringan besar-besaran dilakukan ketika “lockdown” selama dua minggu, Lee berkata, keadaan akan berbeza jika kerajaan melabur dalam ujian besar-besaran sejak mula lagi.

“Jika kita mempunyai kapasiti untuk menguji setiap orang sebanyak dua kali ketika ‘lockdown’ dua minggu di seluruh negara, kita pasti dapat menurunkan kadar jangkitan dengan banyak.”

Berdasarkan kapasiti semasa katanya, ia memerlukan 160 hari untuk menguji satu pusingan penduduk, manakala usaha mengenal pasti dan pengasingan kes akan lebih perlahan berbanding kemunculan kes baharu.

“Walaupun begitu, apabila jangkitan baharu harian dikurangkan ketika ‘total lockdown’, ujian besar-besaran untuk lokaliti dengan penularan tempatan masih aktif adalah penting bagi memastikan penularan terkawal.

“Ini dengan syarat Kementerian Kesihatan (KKM) menganalisis data yang mereka miliki dan boleh mengenal pasti lokaliti ini.”

Lee berkata, emua sumber, termasuk anggota tentera, patut dikerah untuk ujian saringan besar-besaran disasarkan.

Katanya, kerajaan juga patut melihat cara negara China, yang memperkenalkan makmal ujian bergerak dengan kapasiti menguji sejuta rakyat mereka sehari dalam tempoh 24 jam di lokaliti terjejas dengan virus itu.

Beliau berkata, kos “lockdown” berpanjangan adalah jauh melebihi kos ujian saringan besar-besaran.

Katanya, dalam ujian besar-besaran, keputusan pantas dengan ketepatan wajar ialah faktor paling penting.

“Oleh itu, ujian RTK-Antigen perlu menjadi pilihan. Kos setiap ujian boleh menjadi serendah RM10 hingga RM20 apabila ujian besar-besaran dilakukan. Walaupun ujian RT-PCR lebih tepat, tetapi ia memakan masa.

“Terdapat juga teknologi terbaharu lain yang sedia ada, termasuk ujian nafas Covid-19 yang didakwa memberi keputusan lebih pantas. Mungkin, KKM patut meneroka pilihan lebih baharu ini.”

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, masa terbaik untuk menjalankan ujian saringan besar-besaran ialah ketika pelaksanaan “total lockdown” sekarang kerana kebanyakan orang berada di rumah.

Presidennya Dr Subramaniam Muniandy berkata, tiada keraguan bahawa ujian RTK-Antigen perlu digunakan dalam ujian saringan besar-besaran kerana ia boleh mengesan kes positif, mengasingkan mereka dan mengesan semua kontak rapat lebih cepat bagi mengelakkan penularan berterusan, peningkatan jumlah pesakit dimasukkan ke hospital dan kematian.

Katanya, semua negeri perlu menjalankan program saringan RTK-Antigen secara besar-besaran dengan sokongan kerajaan persekutuan.

“Dengan penularan komuniti yang tinggi, saringan RTK-Antigen ialah kaedah paling cepat dan murah.

“Hasil yang jauh lebih baik boleh dicapai dengan pengesanan awal Covid-19. Pengesanan lewat boleh mendatangkan komplikasi dan dalam sesetengah kes, pesakit yang telah mati dibawa ke hospital atau ‘brought in dead (BID)’ kerana lewat mendapatkan rawatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.