Mereka berkata, kerajaan perlu sedar bahawa penyakit jantung, kencing manis, kanser dan kegagalan buah pinggang terus meragut ribuan nyawa setiap tahun.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago memberitahu FMT, beberapa hospital awam memintanya membantu mengumpul dana untuk membeli peralatan.
“Beberapa hospital awam memberitahu saya, ia dipenuhi pesakit dan sangat memerlukan beberapa peralatan perubatan.
“Saya sedang berunding dengan beberapa syarikat untuk meminta bantuan mereka.”
Beliau berkata, beberapa pesakit kanser turut mengadu kepadanya bahawa mereka terpaksa menunggu berjam-jam untuk dirawat dan ada pula yang mengadu pembedahan mereka terpaksa ditangguhkan.
Katanya, timbul kebimbangan bahawa perkhidmatan kesihatan awam mungkin lumpuh, jika perintah kawalan pergerakan (PKP) terbaru tidak dapat mengurangkan jangkitan Covid-19.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah merayu orang ramai supaya menyelamatkan sistem kesihatan negara daripada lumpuh dengan duduk di rumah dan mematuhi SOP.
Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, hospital awam perlu mengklasifikasikan kes kepada yang memerlukan perhatian segera dan yang boleh dirawat kemudian.
“Kes kecemasan tidak patut ditangguhkan. Mereka tidak boleh menolak kes kanser atau mereka yang menghidap masalah buah pinggang atau menangguhkan rawatan untuk individu mempunyai masalah jantung yang teruk.”
Beliau menggesa Putrajaya supaya meringankan beban hospital awam dengan merujuk kes bukan Covid kepada hospital swasta jika kadar jangkitan Covid-19 terus melonjak.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berharap penyakit tidak berjangkit (NCD) tidak akan diabaikan.
“Malah pandemik Covid-19 adalah peluang untuk kerajaan menstruktur semula sumber manusia dengan memberikan lebih banyak fokus terhadap kesihatan awam. Ia gagal menggunakan peluang itu setakat ini.’
Ahli Parlimen Gopeng itu menggesa Putrajaya supaya menggerakkan sumbernya dan merangka sistem penyelarasan dengan institusi kesihatan swasta.
Menurut Jabatan Perangkaan, daripada 109,164 kematian akibat masalah kesihatan pada 2020, penyakit jantung, dengan 16,325 kematian, merupakan punca utama.
Ia disusuli pneumonia yang menyebabkan 12.2% kematian, penyakit serebrovaskular 8%, kemalangan jalan raya 3.8% dan neoplasma malignan trakea, bronkus dan paru-paru 2.4%.