
P Waytha Moorthy mendesak Peguam Negara Idris Harun supaya mengemukakan rayuan terhadap keputusan “membingungkan” itu dengan berkata, kerajaan persekutuan berperanan melindungi dan mempertahankan hak Orang Asli.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Orang Asli pra-kemerdekaan 1954 meletakkan tanggungjawab memastikan kesejahteraan serta kemajuan penduduk Orang Asli di tangan kerajaan persekutuan.
Semalam, Mahkamah Rayuan menetapkan bahawa Putrajaya tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan berhubung dakwaan pencerobohan di petempatan Orang Asli di Gua Musang selepas meluluskan lesen pembalakan kepada beberapa syarikat swasta.
Dalam kenyataan tuntutannya Putrajaya berkata, tindakan kerajaan negeri melucutkan taraf tanah adat dan sumber milik Orang Asli suku Temiar itu mengakibatkan berlakunya hakisan tanah, pencemaran dan kemusnahan terhadap ekologi dan landskap di Pos Simpor.
Waytha, yang juga presiden Parti Kemajuan Malaysia berkata, kerajaan persekutuan adalah pemegang amanah rakyat dan mempunyai kewajipan untuk campur tangan jika berlaku pencabulan hak rakyatnya, termasuk Orang Asli.
Katanya, penubuhan Jabatan Pembangunan Orang Asli dan dasar yang diterapkan pada tahun 1961 adalah untuk memastikan hak tanah adat mereka diakui, sekali gus menggambarkan peranan penting kerajaan dalam mempertahankan penduduk pribumi.
“Lokus standi kerajaan persekutuan diperkukuhkan lagi dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mewujudkan cadangan tanah rizab untuk Orang Asli.
“Secara khususnya, pengambilan tanah untuk mewujudkan rizab bagi Orang Asli sama maksudnya dengan definisi ‘tujuan persekutuan’, seperti yang terkandung dalam Perkara 160 (2). “