Fatwa ‘bin Abdullah’ untuk anak luar nikah bawa stigma sosial, kata SIS

Fatwa ‘bin Abdullah’ untuk anak luar nikah bawa stigma sosial, kata SIS

Sisters in Islam pertikai fatwa penggunaan 'bin Abdullah' untuk anak orang Islam yang dilahirkan di luar pernikahan.

Sisters in Islam berkata, prinsip Islam yang paling penting – keadilan, belas kasihan, keharmonian – mesti menjadi panduan.
PETALING JAYA:
Keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak yang membenarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun menggunakan nama bapa angkatnya dalam rekod rasmi dipuji oleh kumpulan hak asasi wanita Sisters in Islam (SIS).

Namun, SIS masih tidak senang dengan fatwa yang masih kekal terpakai berhubung perkara itu.

“Penggunaan ‘bin Abdullah’ untuk anak orang Islam yang dilahirkan di luar pernikahan membawa stigma sosial kerana mereka sering dibuli, diejek, diserang dan menjadi sasaran,” kata SIS dalam kenyataan hari ini.

SIS berkata, walaupun keputusan mahkamah itu satu langkah positif, kumpulan itu masih khuatir dengan kewujudan satu fatwa yang diwartakan di Sarawak pada awal tahun ini, yang menyatakan anak luar nikah mesti berbinkan “Abdullah”.

“Kami telah berulang kali meminta lebih keseimbangan dalam pelaksanaan undang-undang dan fatwa Islam. Prinsip Islam yang paling penting – keadilan, belas kasihan, keharmonian – mesti menjadi panduan.

“Jelas bahawa fatwa mengenai anak-anak luar nikah ini mengakibatkan bahaya, dan tidak memanfaatkan kesejahteraan atau kepentingan anak terbabit,” katanya.

SIS merujuk kepada keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Christopher Chin Soo Yin pada April, selepas mahkamah mengambil kira kepentingan kanak-kanak berkenaan, yang dianggap selaras dengan kemahuan ibu bapa angkatnya yang beragama Islam.

Chin, dalam penghakiman bertulisnya, memerintahkan Pegawai Daerah Sibu dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya menggugurkan “bin Abdullah” pada nama kanak-kanak itu dan menggantinya dengan nama “sesuai dengan kehendak ibu bapa (angkat)”.

Kanak-kanak itu, yang dilahirkan pada 2018, diambil sebagai anak angkat pada tahun sama.

Ibu bapa angkatnya memberikannya nama baharu, yang termasuk nama bapa angkatnya.

Walaupun namanya ditukar, sijil kelahirannya masih tercatat “bin Abdullah”, mendorong ibu bapa angkatnya mengemukakan tuntutan terhadap Pegawai Daerah Sibu, memaksa kerajaan negeri menggugurkannya daripada rekod rasmi kanak-kanak itu.

Kata SIS, belas kasihan yang ditunjukkan mahkamah Sarawak itu, bagaimanapun, tidak berlaku dalam kes membabitkan seorang anak luar nikah di Johor, merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu yang menetapkan anak luar nikah tidak boleh membawa nama bapa mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.