
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata modus operandi yang sering digunakan sindiket penipuan penjualan kenderaan terpakai berkenaan ialah menawarkan kenderaan import pada harga murah dengan mendakwa kereta berkenaan dari Thailand, Singapura dan Langkawi.
“Sindiket ini akan menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan dan mangsa kemudian diminta memasukkan sejumlah wang ke akaun bagi tujuan antaranya pembayaran wang proses, cukai jalan dan geran. Setelah wang dimasukkan ke akaun berkenaan kereta yang dijanjikan tidak diterima,” katanya dalam kenyataan.
Melihat kepada pertambahan kes penipuan berkenaan, Mohd Kamarudin menasihati orang ramai agar sentiasa mengambil langkah pencegahan sebelum membuat sebarang pembelian kenderaan dalam talian.
“Antara langkah yang boleh digunakan ialah membuat tinjauan dan semakan harga semasa kenderaan di pasaran, tidak mudah percaya dengan iklan yang menawarkan kereta terpakai dengan harga yang murah atas alasan pengecualian kastam atau rampasan pihak berkuasa.
“Selain itu pelanggan juga perlu sentiasa menyimpan rekod perbualan dan transaksi pembayaran sebagai bukti dan memastikan urusan perjanjian jual beli dilakukan melalui kaedah yang diperakui selain membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon melalui https://semakmule.rmp.gov.my/,” katanya.