Tangani segera masalah pekerja kesihatan swasta di SJR, kata APHM

Tangani segera masalah pekerja kesihatan swasta di SJR, kata APHM

APHM berkata, sebarang kelewatan di sekatan jalan raya dan pusat pemeriksaan keselamatan boleh memberi kesan buruk di hospital swasta.

Dr Kuljit Singh. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menggesa tindakan segera diambil berhubung kesusahan yang dihadapi sesetengah petugas kesihatan swasta yang tidak dianggap sebagai petugas perkhidmatan penting oleh pasukan keselamatan yang mengawal sekatan jalan raya (SJR) dan stesen pengangkutan awam ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presidennya Dr Kuljit Singh berkata, pada masa ini, hospital swasta terlibat secara aktif mengurus pandemik tersebut dengan melakukan ujian saringan secara jumpa terus, merawat pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mengurus pusat vaksinasi.

Oleh itu katanya, sebarang kelewatan di sekatan jalan raya dan pusat pemeriksaan keselamatan boleh memberi kesan buruk di hospital swasta.

“Kami amat mememahami bahawa ada kemungkinan individu yang cuba menyamar sebagai pekerja kesihatan untuk melepasi sekatan jalan raya, tetapi semua petugas kesihatan swasta diberikan surat daripada Jabatan Sumber Manusia hospital atau CEO bersertakan kad pengenalan bergambar dan nombor telefon untuk dihubungi sebagai pengesahan.

“Kami bersedia mengadakan sesi dialog dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai perkara ini dan kami telah mengutus surat mengenai perkara ini, awal hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hospital swasta dilesenkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan tidak memerlukan syarat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Justeru, kakitangan bukan klinikal, selain doktor, jururawat dan ahli farmasi, di hospital perlu berada di tempat kerja secara fizikal yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan hospital.

“Kami berharap agar perunding perubatan kami diberikan layanan serupa sebagaimana rakan sejawat mereka di Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menggunakan laluan khas semasa melalui sekatan jalan,” katanya dengan menambah bahawa PHM juga bertungkus-lumus bersama-sama kerajaan dalam mengekang penularan pandemik.

“Kami berharap diberikan sedikit kelonggaran agar staf kami dapat memberi sumbangan secara optimum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.