Tak berbaloi terus projek tambak laut ketika ramai bekerja dari rumah, kata persatuan penduduk

Tak berbaloi terus projek tambak laut ketika ramai bekerja dari rumah, kata persatuan penduduk

Bendahari Persatuan Penduduk itu mempersoalkan bagaimana projek PSR dapat dilaksanakan ketika pekerja kini mula bekerja dari rumah.

Bendahari TBRA, Zulfikar Abdul Aziz, berkata Zairil Khir Johari nampaknya tidak sedar bagaimana projek PSR akan membawa kesan serius terhadap persekitaran dan kewangan. (Gambar SRS Consortium)
GEORGE TOWN:
Persatuan penduduk di sini hari ini menuntut kerajaan Pulau Pinang supaya berkongsi dapatan oleh sebuah firma audit yang mendakwa projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) akan menjadi pendorong utama dalam membantu negeri ini pulih daripada kemerosotan akibat Covid-19.

Bendahari Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, Zulfikar Abdul Aziz, berkata, ketika ramai pekerja meninggalkan pejabat dan bekerja dari rumah, masih tidak dapat dipastikan sama ada projek tambakan mega itu idea yang baik.

Kenyataan itu menyusul kenyataan ketua Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, dalam satu kajian bebas oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) mendedahkan projek tambakan itu akan menarik pelaburan asing sebanyak RM70 bilion dan mewujudkan 30,000 pekerjaan dalam jangka masa 30 tahun.

Dalam kenyataan hari ini, Zulfikar berkata, Zairil, yang juga ADUN Tanjung Bungah, perlu mendedahkan penemuan PwC kepada orang ramai untuk menyokong dakwaannya.

Katanya, Zairil tidak menyedari realiti semasa dan kenyataan bahawa PSR terbukti membawa kesan serius terhadap persekitaran dan kewangan.

Zulfikar berkata, kerajaan Pulau Pinang perlu melihat penularan pandemik semasa sebagai titik perubahan kerana model perniagaan berubah dan ruang hijau akan menjadi keutamaan dalam memerangi perubahan iklim.

“Apa yang jelas, pekerja kini tidak lagi menggunakan pengangkutan dan ruang pejabat malah beralih untuk mula bekerja dari rumah.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri mempertimbangkan semula PSR kerana perubahan iklim kita dan akibat wabak ini akan memerlukan pemikiran lebih kreatif membabitkan infrastruktur bandar,” katanya.

Zulfikar berkata, gesaan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar baru-baru ini, untuk menghentikan PSR adalah langkah baik dan memberi dukungan kepada bantahan penduduk Pulau Pinang terhadap projek itu selama ini.

Baru-baru ini, Nurul Izzah meminta pengawal selia alam sekitar supaya membatalkan persetujuan awal projek itu dan menumpukan kepada pemulihan pasca pandemik.

PSR adalah rancangan Pulau Pinang untuk menambak tiga pulau buatan dan kemudian menjualnya untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion.

Baru-baru ini, kerajaan Pulau Pinang berkata, ia akan membenarkan syarikat swasta untuk melakukan kerja tambakan di salah satu pulau terbabit, dengan hak milikan tetap kepunyaan kerajaan negeri. Ia menegaskan bahawa projek ini sangat penting untuk menyokong permintaan tanah untuk industri yang semakin meningkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.