
Pendakwaan berkata, ini kerana bekas perdana menteri Najib Razak telah mencabar pelantikan Sri Ram di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah dan Mahkamah Tinggi itu mengisytiharkannya (pelantikan) sebagai sah.
Barisan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada 7 Ogos 2019 menolak rayuan Najib untuk menyingkirkan Sri Ram daripada mengetuai kes 1MDB dan memutuskan beliau boleh memimpin pasukan pendakwaan dalam kes jenayah yang diberikan kepadanya.
“Oleh itu, Sri Ram sebagai TPR kanan tertakluk pada kawalan dan arahan pendakwa raya sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 376 (3) BPK,” kata pihak pendakwaan dalam kenyataan bertulis yang difailkan minggu lalu dan dilihat oleh FMT.
Kenyataan itu adalah sebagai hujahan balas kepada dua rayuan difailkan isteri Najib, Rosmah Mansor awal bulan lalu yang ingin membatalkan kelayakan Sri Ram sebagai pendakwa dalam perbicaraan rasuahnya yang sedang berlangsung.
Selain itu, ia bertujuan mendapatkan pengisytiharan bahawa perbicaraan ini adalah terbatal.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan akan mendengar penghujahan lisan kedua-dua pihak di mahkamah terbuka pada 17 Jun.
Pihak pendakwaan juga berkata, peguam negara dan pendakwa raya, Tommy Thomas dalam afidavitnya bertarikh 11 Mei (2021) menegaskan bahawa beliau secara peribadi memberi kuasa kepada Sri Ram untuk menjalankan pendakwaan terhadap Rosmah.
“Untuk tujuan terkini, itulah kesudahannya. Pelantikan Sri Ram di bawah Seksyen 376 (3) dianggap sah oleh Mahkamah Persekutuan dan terdapat pengesahan oleh pendakwa raya ketika itu bahawa beliau memberi kuasa kepada Sri Ram untuk menjalankan pendakwaan terkini (kes Rosmah),” katanya.
Pihak pendakwaan turut menjelaskan bahawa afidavit yang difailkan oleh Tetuan Jagjit Singh & Co bagi pihak Rosmah yang mendakwa Sri Ram menipu dan menghina mahkamah adalah tuduhan yang sangat serius.
Ia berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Najib diketahui oleh peguam tertuduh.
“Oleh itu, kenyataan bahawa mahkamah ditipu adalah kenyataan palsu yang dibuat dengan sengaja,” katanya.
Tambahnya menjadi tugas peguam untuk menasihati anak guamnya agar tidak membuat tuduhan seperti dalam permohonan Rosmah.
Dalam pada pihak pendakwaan meminta agar permohonan Rosmah ditolak, mereka turut mendesak mahkamah untuk menegur peguam tertuduh atas kesalahan yang serius.
Pada Februari lalu, Rosmah, 69, diperintahkan membela diri atas tuduhan rasuah berkaitan projek tenaga solar sekolah di Sarawak.
Beliau dituduh meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui pembantunya Rizal Mansor sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek secara rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau juga dituduh atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.
Kes pembelaan itu berkemungkinan akan didengar pada 22 dan 23 Jun, serta 12 dan 15 Julai.