
Dr Vivian Dominique yang berkongsi pengalaman itu di Facebooknya berkata, bayi itu terlalu kecil, malah lubang hidungnya hampir sama saiz dengan swab yang digunakan untuk membuat ujian berkenaan.
Walaupun beliau berusaha berlembut ketika memasukkan swab ke hidung pesakit cilik itu, bayi berkenaan nyata tidak selesa dan mula menjerit.
Malangnya bayi itu tidak dapat mengalihkan kepalanya kerana otot tengkuk dan leher yang masih belum cukup sempurna, menyebabkan si kecil itu terus menjerit dan menangis lebih kuat lagi.
Vivian mengakui saat itu amat memeritkan buatnya.
Bayi sememangnya berkeadaan lemah dan doktor akan merasai tekanan apabila perlu merawat bayi yang sakit.
Ditambah pula ia melibatkan wabak Covid-19 serta jangkitan yang amat tinggi, maka sudah pasti menyebabkan lebih banyak tekanan untuk petugas kesihatan.
Vivian yang bertugas di Pulau Pinang menceritakan tekanan dihadapinya apabila terpaksa membuat ujian demi ujian melibatkan kanak-kanak yang masih terlalu kecil.
Dalam catatan di Facebook, Vivian menceritakan pengalamannya membuat ujian swab RT-PCR terhadap bayi berusia 10 hari itu.
“Saya cuba sedaya upaya untuk berlembut kerana bayi terlalu lemah, kalau terkasar sedikit, mampu mencederakan mereka.
“Malah jika ada kesan darah pada contoh swab diambil, ia tidak boleh diterima bererti kita perlu melakukannya sekali lagi, bayi juga akan ‘diseksa’ sekali lagi,” kata pakar pediatrik itu.
Dominique berkata, bayi itu tidak berhenti menjerit dan menangis apabila beliau memasukkan swab ke hidungnya dan tidak mampu langsung untuk mengelak.
“Begitu jugalah dia tidak mampu menghalang dirinya dicium orang tidak dikenali ketika majlis meraikan kelahirannya. Dia tidak dapat menghalang dirinya dibawa ke pusat beli-belah. Dia tidak dapat melindungi diri daripada virus, dia tidak mampu berkata ‘tidak’,” katanya.
Katanya, selama 20 minit selepas itu beliau mengambil contoh darah dan memberikan ubat secara intravena kepada bayi itu walaupun pelindung muka dipakainya berkabut.
Prosedur itu amat menyeksakan, bukan sahaja untuk bayi terbabit malah dirinya sendiri, tambahnya.
Dominique berkata, selepas prosedur itu selesai dan membuka pakaian perlindungan diri (PPE), beliau sekali lagi menerima berita yang menyedihkan – seorang bayi berusia 15 hari disahkan positif virus itu dan menjadi kes pertama yang perlu dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19.
“Saya menerima pula satu lagi panggilan telefon daripada rakan sekerja yang memaklumkan seorang budak perempuan berusia lima tahun turut positif serta perlu dipindahkan juga.”
Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini mendedahkan 82,341 kes jangkitan di negara ini melibatkan bayi dan kanak-kanak, dengan lebih 30,000 kes pada minggu lalu.
Daripada jumlah itu, 19,851 kes melibatkan mereka di bawah usia lima tahun.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menggesa ibu bapa supaya lebih proaktif melindungi anak mereka daripada jangkitan.
Katanya, sistem imun golongan itu masih lemah seterusnya mudah dijangkiti, selain mereka juga tidak layak menerima vaksin.
Sementara itu Dominique berkata, kaedah terbaik untuk melindungi kanak-kanak adalah dengan golongan dewasa terlebih dulu melindungi diri sendiri dengan suntikan vaksin.
“Tidak kiralah Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac, vaksin terbaik adalah vaksin yang tersedia untuk anda,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlepas tarikh janji temu vaksinasi mereka.