ATM bakal buka hospital modular, 6 lagi hospital medan dan PPV pandu lalu

ATM bakal buka hospital modular, 6 lagi hospital medan dan PPV pandu lalu

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, hospital modular berkenaan bakal siap dibina dalam tempoh tiga bulan.

PETALING JAYA:
Angkatan Tentera Malaysia akan membuka enam lagi hospital medan bagi rawatan pesakit Covid-19, menjadikan jumlahnya lapan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Sebagai tambahan, sebuah hospital modular bakal siap dibina dalam tempoh tiga bulan. Hospital berkenaan dapat memuatkan 64 katil, termasuk 16 katil unit rawatan rapi (ICU).

Pembinaan hospital ini akan ditanggung oleh WCT Holdings Berhad.

Selain itu, Ismail mengumumkan ATM akan turut membuka enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu bagi menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau berkata, fasiliti perintis di Kem Sungai Besi dijangka dibuka seawal mungkin.

“Berdasarkan perancangan awal, proses vaksinasi melalui kaedah itu hanya untuk anggota ATM dan keluarga mereka terlebih dahulu.

“Jika konsep ini berjaya, kita akan buka kepada orang awam di tempat yang akan kita akan tentukan nanti,” kata beliau pada sidang media secara maya sempena acara pelancaran pembinaan hospital modular ATM di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

Ismail berkata, dengan pembukaan pusat berkenaan, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 sehingga 2,000 individu sehari diberi suntikan vaksin Covid-19 secara pandu lalu.

Dalam pada itu, pihak ATM juga akan menggunakan bas-basnya sebagai klinik bergerak untuk dijadikan PPV di kawasan pedalaman, kata beliau.

“Selain bas yang dijadikan sebagai klinik bergerak, kita juga akan menghantar doktor dan paramedik ke kawasan terpilih, terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.