Batal kompaun pekerja, MTUC gesa ambil tindakan tegas atas kilang plastik

Batal kompaun pekerja, MTUC gesa ambil tindakan tegas atas kilang plastik

MTUC menyifatkan tindakan pengurusan kilang itu melampau, tidak adil serta penindasan terhadap pekerja.

Pemilik sebuah kilang plastik di Taman Medan dikompaun RM10,000 kerana disyaki melanggar SOP dengan beroperasi melebihi masa pada malam Selasa lalu, manakala lapan pekerjanya masing-masing didenda RM2,000 di bawah kesalahan sama. (Gambar polis)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam pengurusan sebuah kilang pembuatan plastik di Taman Medan, dekat sini pada malam Selasa lalu yang gagal mematuhi SOP sehingga mengakibatkan pekerjanya turut dikompaun.

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani menyifatkan tindakan pengurusan kilang itu melampau, tidak adil dan merupakan penindasan terhadap pekerjanya.

Beliau merujuk laporan media berhubung seorang pemilik kilang plastik dikompaun RM10,000, selepas disyaki melanggar SOP kerana beroperasi melebihi masa ditetapkan dalam tempoh sekatan pergerakan penuh.

Lapan pekerja kilang itu masing-masing juga dikompaun RM2,000 di bawah kesalahan sama.

“MTUC sangat terkejut dengan laporan media yang memaklumkan tindakan pihak pengurusan kilang berkenaan.

“Sewajarnya pihak majikan hendaklah dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas pelanggaran SOP tersebut dan wajar dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tindakan tegas juga perlu diambil terhadap pengurusan kilang tersebut yang mengambil kesempatan terhadap pekerja, bukannya menjadikan pekerja sebagai mangsa keadaan.

“MTUC berpendirian dalam isu ini bukan kesalahan pekerja kerana mereka tiada kawalan terhadap waktu kerja yang ditetapkan pengurusan.

“Pihak pengurusan kilang hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang tindakan yang dikenakan, termasuk kompaun. Pekerja hanya menjalankan kerja mereka mengikut arahan pihak kilang demi kelangsungan hidup, pekerjaan dan pendapatan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.