
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata dalam operasi 12 tengah hari itu, selain majikan polis turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,500 setiap seorang, terhadap 14 pekerja yang tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Setiap majikan bertanggungjawab untuk memastikan pekerjanya mematuhi SOP, terutama ketika pelaksanaan PKP 3.0 yang diperketatkan sekarang ini.
“Malah, perkara paling asas adalah dengan memastikan pekerja mendaftar (imbas) menggunakan MySejahtera. Ini adalah tanggungjawab majikan, kerana kita tidak mahu sekiranya berlaku kes penularan Covid-19 maka menyukarkan pihak lain untuk melakukan pengesanan kontak rapat,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.
Katanya, pihaknya menjalankan operasi tersebut secara berterusan dan berkali-kali, tetapi masih ramai lagi terutama warga asing yang berdegil dan tidak mengambil serius berhubung SOP, yang ditetapkan terutama tidak mengimbas MySejahtera.
Noorzainy berkata, sepanjang pelaksanaan PKP 3.0, polis bersama agensi lain akan terus menjalankan pemeriksaan ke semua kilang yang dibenarkan beroperasi, untuk memastikan semua SOP ditetapkan dipatuhi.
Tambahan pula katanya, peningkatan kes Covid-19 ketika ini banyak datang dari kluster kilang, dan sepatutnya majikan menjadi seorang yang bertanggungjawab untuk pastikan pekerjanya patuh pada SOP, dalam usaha membendung penularan wabak tersebut.
“Hari ini sebanyak 11 kilang di kawasan Mak Mandin kita periksa, dan mendapati dua daripadanya gagal mematuhi SOP ditetapkan, secara keseluruhannya jumlah kompaun yang dikeluarkan dalam operasi hari ini ialah sebanyak RM41,000,” katanya.
Operasi hari ini membabitkan polis, Kementerian Kesihatan, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.