
Ramai dalam kalangan warganet meluahkan kekecewaan dengan sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang diselia MITI apabila ada yang mendakwa mereka lambat mendapat kelulusan.
Pengguna FB dengan nama Norhani Sharim berkata, “saya masih tidak dapat cetak surat kebenaran. Transaksi tidak sah. Kalau macam ini jangan tetapkan tiga hari, sebab bukan salah kami, salah siapa yang buat sistem ni.”
Seorang lagi warganet, Lan Bekok yang merupakan peniaga berkata, disebabkan tidak dapat mendapatkan surat kelulusan daripada MITI dia tidak dapat membuka kedainya.
“Dah dapat daftar malam tadi tetapi masih belum ada kelulusan. Hari ini tak dapat buka kedai di Kuala Lumpur sebab tak dapat surat MITI. Berapa lama lagi saya terpaksa cuti? Takde kerja takde gaji,” kata Lan Bekok di ruangan komen MITI.
Malah, terdapat juga warganet mendakwa, ada sektor yang bukan bawah kategori keperluan diberikan kelulusan oleh MITI untuk beroperasi.
“Mohon lagi telus dalam meluluskan permohonan dari syarikat-syarikat ini, agak mendukacitakan bila meluluskan syarikat yang terang-terang tidak dikategorikan sebagai keperluan,” kata Teeya Razman.
Terdahulu, dalam kenyataan pada Isnin, MITI memaklumkan surat kebenaran beroperasi bagi sektor ekonomi perlu yang dibenarkan kerajaan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh bermula 1 hingga 14 Jun ini perlu dimohon melalui CIMS 3.0.
MITI berkata, sehubungan itu sektor ekonomi terbabit boleh mengakses portal CIMS 3.0 untuk mendapatkan surat kelulusan beroperasi sekiranya belum menerima kelulusan untuk beroperasi mulai 31 Mei, melalui pautan notification.miti.gov.my.
Semalam, MITI mengumumkan 95,142 syarikat memperoleh kelulusan untuk beroperasi ketika PKP penuh dengan pematuhan ketat SOP baharu.
Katanya, 517,144 syarikat dengan 9.67 juta tenaga kerja mendaftar bawah CIMS 3.0, sehingga tengah hari semalam.