“Malah nampaknya wujud korelasi antara kenyataan mengelirukan oleh pihak berkuasa dengan peningkatan penularan jangkitan,” katanya dalam kenyataan.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, kenyataan serta pengumuman Putrajaya berubah saban hari,“ kadangkala dalam tempoh beberapa jam, malah ada yang langsung tidak masuk akal.”
Beliau memberikan sebagai contoh bagaimana orang tidak dikenali boleh bersama dalam bas pelancong, namun bukan lima sekeluarga dalam kenderaan utiliti sukan (SUV).
“Tambahan, ribuan rakyat dihimpunkan di pusat vaksinasi mega dan bukannya menggunakan premis percuma sedia ada,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai kuasa yang diberikan kepada sesuatu kementerian.
“Satu hari MITI…kemudian tidak pula. Kemudian kembali kepada MITI. Kenapa MITI?” soalnya.
Bekas Ketua Wanita Umno itu merujuk kepada keputusan kerajaan menetapkan semula MITI sebagai penyelaras untuk perniagaan memperoleh kebenaran beroperasi ketika sekatan penuh yang kini sedang berkuat kuasa.
Hanya beberapa hari lalu pada 30 Mei, kerajaan berkata setiap kementerian akan mengeluarkan surat kepada perniagaan di bawah bidang kuasanya.
Rafidah turut mempertikaikan sama ada gaji tiga bulan memang akan dipotong daripada menteri dan timbalan mereka untuk melawan Covid-19, atau sekadar penangguhan pembayaran.
“Ada pula yang mengatakan ia bukan pemotongan gaji tiga bulan sebaliknya ditangguhkan untuk dibayar kemudian. Bolehkah kerajaan mengesahkan perkara ini?” soalnya.
Rafidah, yang terkenal sebagai “Wanita Besi” kerana ketegasannya turut menyentuh mengenai isu rasuah.
“Slogan ‘Cash is King’ (wang adalah raja) nampaknya pendorong kebanyakan keputusan. Sepatutnya kita ingat tak sesiapa boleh membawa apa-apapun bersamanya ke dalam kubur,” katanya.
Beliau berkata, Parlimen masih dikenakan “lockdown” penuh seterusnya menghalang perbelanjaan awam didebatkan atau diteliti, selain ketiadaan semak dan imbang sejak Darurat diumumkan pada Januari.
Rafidah berkata, Parlimen di negara maju tetap berfungsi malah melaksanakan kadar vaksinasi yang tinggi.
“Sebaliknya, di Malaysia 3C ini tetap membelenggu rakyat dan negara,” katanya, yang turut menyoal sehingga bila negara akan terus ‘sesak’ akibat 3C ini.