
SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, M V Srikumar M Nair berkata, arahan itu datang daripada Ketua Polis Negara sendiri.
“Ketua Polis Negara telah memutuskan dan mengarahkan supaya kita menerima pakai semua surat pergerakan baik daripada MITI, kementerian atau jabatan walaupun selepas dua tiga hari yang dikatakan diberi kelonggaran kita tetap benarkan pemakaian surat-surat ini.
“Harap tuan-tuan dan puan-puan maklum kepada semua bahagian yang menjalankan sekatan jalan raya,” kataya dalam video berdurasi 30 saat.
Beliau berkata demikian mengulas laporan yang mengatakan pihak berkuasa tidak menerima surat dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Semalam, Kementerian Pengangkutan berkata, pemandu dan penumpang bas ekspres, lori, dan kenderaan komersial lain bawah kategori perkhidmatan penting yang harus melakukan perjalanan di seluruh negeri hanya perlu memohon surat kelulusan daripada mereka.
Pemegang surat kelulusan kementerian tidak memerlukan surat kebenaran tambahan untuk melakukan perjalanan rentas negeri selama perintah kawalan pergerakan penuh berlangsung.
Ketika dihubungi, Srikumar mengesahkan kesahihan video tersebut dan berkata, polis di sekatan jalan raya akan memberi kelonggaran “dalam dua atau tiga hari akan datang” bagi mereka yang bekerja untuk syarikat yang masih belum lagi menerima surat kelulusan MITI.
Beliau bagaimanapun menegaskan surat kelulusan daripada kementerian berkenaan, jabatan atau agensi sektor mereka beroperasi masih diperlukan.