Nurul Izzah, yang pada satu ketika menyokong projek itu, berkata beliau dan rakan separtinya menjadi lebih khuatir apabila Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang diubah untuk merangkumi lebuh raya mega, transit aliran ringan (LRT), monorel, projek Skycab dan penambakan tanah.
Beliau berkata, jelas bahawa PSR telah difokuskan kepada hasil dan penjualan spekulatif hartanah, dan sebagai akibat, telah mengenepikan kepentingan alam sekitar dan ekosistem seimbang.
Dalam sebuah kenyataan bersama, badan-badan bukan kerajaan (NGO) tersebut, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), menzahirkan sokongan mereka terhadap seruan Nurul Izzah agar projek berkenaan dibatalkan, atas kebimbangan mengenai alam sekitar apabila berkait kerja-kerja penambakan.
“Penambakan semula tiga pulau akan melibatkan pembuangan sekitar 190 juta meter padu bahan pengisi yang terdiri daripada pasir dan batu ke lautan kita.
“Ini tidak mengambil kira skala besar bahan yang perlu diperoleh dari luar kawasan ini, dan apa impaknya,” kata mereka.
Sebagai respons terhadap penegasan Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari semalam bahawa PSR amat diperlukan sebagai pemangkin kepada pemulihan ekonomi pasca Covid-19 bagi negeri tersebut, kumpulan NGO itu berkata, alam sekitar tidak perlu dikorbankan bagi tujuan ekonomi.
“Isunya bukan dilema pembangunan vs pemeliharaan kawasan sensitif alam sekitar.
“Kita boleh memiliki kedua-duanya jika negeri sanggup mempertimbangkan peluang alternatif di (Seberang Perai),” katanya.
Kumpulan NGO berkenaan mencadangkan Seberang Perai sebagai calon utama bagi pembangunan, dan ini akan memberi laluan kepada penciptaan pekerjaan yang lestari.
Ia juga akan mengurangkan jejak ekologi dan tidak mengancam mata pencarian nelayan yang terkesan oleh PSR, tambahnya.
“Kita harus lebih memelihara biokepelbagaian yang wujud dalam lautan kita (sekarang), berbanding mengorbankannya untuk hasil khayalan di masa hadapan,” kata mereka.