
Pengarah komunikasi PKR itu berkata, ia boleh dilakukan dengan Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan Ordinan Darurat bagi memperuntukkan semula RM1 bilion itu ke dalam akaun terbabit.
“Jumlah RM1 bilion ini jauh lebih besar berbanding elaun tiga bulan bagi 220 Ahli Parlimen (dianggarkan dalam RM16.5 juta), dan dapat digunakan segera untuk menangani pandemik ini,” katanya dalam kenyataan.
Ketika membentangkan pakej bantuan Pemerkasaan Tambahan pada 31 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan Jemaah Menteri akan menyumbangkan tiga bulan gaji ke akaun amanah itu untuk memerangi Covid-19.
Sebagai manifestasi solidariti kepada tindakan menteri dan timbalan menteri itu, Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali semalam mengumumkan penjawat awam Gred 29 hingga 56 akan menyerahkan sebahagian elaun mereka untuk tujuan sama.
Mengenai gesaan untuk Ahli Parlimen, termasuk dari pembangkang turut menyalurkan elaun mereka ke akaun itu, Fahmi menyuarakan kesediaan berbuat demikian, dengan syarat Parlimen bersidang semula sekarang.
“Proses semak imbang yang telah tempang sejak Parlimen ‘dibekukan’ enam bulan lalu perlu dihidupkan semula, terutama dalam keadaan krisis pandemik yang berlarutan ini.
“Jika Parlimen bersidang, pelbagai soalan yang bermain di fikiran rakyat akan dapat dijawab dengan segera dan jelas,” katanya.