Suntikan untuk OKU, penjaga dipercepatkan menerusi OKU Sentral

Suntikan untuk OKU, penjaga dipercepatkan menerusi OKU Sentral

Ini adalah inisiatif antara NGO berkenaan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ras Adiba Radzi berkata semua kategori kurang upaya boleh mendaftar untuk vaksinasi di bawah inisiatif OKU Sentral.
PETALING JAYA:
Golongan kurang upaya (OKU) kini boleh mendaftar menerusi badan bukan kerajaan OKU Sentral untuk mempercepatkan proses vaksinasi menerusi inisiatif bersama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Inisiatif dipelopori pengerusi NGO berkenaan, Ras Adiba Radzi memberikan alternatif untuk golongan OKU serta penjaga mereka bagi pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera untuk memastikan mereka menerima suntikan vaksin secepat mungkin.

Ras Adiba yang juga seorang senator berkata, lebih 1,000 orang mendaftar sejak pautan untuk inisiatif itu mula beroperasi, semalam.

“Nama-nama dihimpunkan akan diberikan kepada MOSTI dan mereka akan dihubungi seterusnya diberikan tarikh vaksinasi,” katanya kepada FMT.

“Ini khusus di bawah OKU Sentral. Kami menggalakkan semua OKU mendaftar dan terbuka untuk semua kategori kurang upaya.”

Katanya, menteri akan membuat pengumuman ‘lebih meluas’ tidak lama lagi.

Menteri penyelaras vaksinasi Khairy Jamaluddin sebelum ini memberi jaminan kepada masyarakat OKU bahawa mereka yang berada di pusat yang tidak didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekalipun akan layak untuk menerima vaksin.

“Tiada sesiapa yang akan ketinggalan. Saya telah memutuskan untuk memastikan vaksinasi tersedia untuk semua pusat jagaan OKU, termasuk yang tidak berdaftar dengan JKM,” katanya Selasa lalu.

“Tiada tindakan akan diambil terhadap pusat-pusat yang tidak berdaftar, jadi tidak sesiapapun patut takut tampil untuk mendapat vaksinasi.”

Khairy berkata, di bawah Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), unit bergerak telah dihantar ke beberapa pusat penjagaan OKU untuk menyuntik vaksin bagi penghuninya.

Inisiatif lain termasuk mendirikan pusat vaksinasi di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia, Brickfields, selain menyediakan ‘bilik bertenang’ untuk pusat penjagaan neurodiversity bagi vaksinasi melibatkan mereka yang mempunyai autisme.

Mereka yang berminat mendaftar diri sendiri atau orang di bawah jagaan mereka bagi vaksinasi boleh berbuat demikian di sini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata, bilangan golongan kurang upaya yang telah mendaftar untuk vaksin Covid-19 sehingga semalam adalah 195,395 atau 33.8% jumlah keseluruhannya iaitu 577,352 di seluruh negara.

Katanya, jumlah itu masih rendah seterusnya kempen advokasi dan kesedaran akan dipertingkat menerusi kerjasama dengan NGO bagi membantu golongan terlibat mendaftar diri.

“Ada dua isu, iaitu pendaftaran dan pemberian vaksin. Saya berharap lebih ramai golongan kurang upaya akan mendaftar menerima vaksin menerusi usaha ini.

“Perbincangan juga sedang diadakan untuk menyediakan vaksinasi pandu lalu bagi golongan kurang upaya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.