PKP, PKP… Santesh sudah kembali!

PKP, PKP… Santesh sudah kembali!

Santesh Kumar kembali lagi menghiburkan orang ramai dengan klip-klip video pendeknya untuk menghilangkan tekanan sewaktu PKP 3.0 ini.

Penyanyi Santesh Kumar yang pernah menghiburkan masyarakat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dahulu kini kembali dengan lebih banyak video pendek menggunakan babak filem Tamil dengan sarikata Bahasa Malaysia yang lebih kelakar.

Selain peminat dari kaum India, Santesh yang sememangnya mempunyai ramai peminat Melayu dengan lagunya yang popular iaitu Amalina mendapat jumlah tontonan sebanyak 35 juta dalam masa dua tahun.

Video muzik bertajuk Mymuna pula mempunyai lebih kurang tujuh juta tontonan.

Tetapi usaha PKP 1.0 Santesh adalah sesuatu yang berbeza, dia melihat masyarakat Malaysia dari pelbagai kaum terhibur dengan klip video pendeknya yang menjadi tular di media sosial semasa sekatan perjalanan dahulu.

Dia kini membuat sesuatu yang berlainan, mencantumkan lawak jalanan seperti yang digemari masyarakat.

Artis berusia 35 tahun itu kemudian memilih babak dari filem komedi Tamil dan skrip atau lirik yang menyentuh isu-isu terkini dalam komuniti Melayu.

Menurut Santesh, pendekatan itulah yang menyatukan dia kepada peminat berbangsa Melayu.

Santesh, adalah antara pembikin video-video berunsur lucu mengenai PKP Covid-19 di Malaysia. (Gambar Santesh Kumar)

Klip video terbaharunya yang menyelitkan petikan lagu pendek dari babak yang menampilkan pelakon Tamil, mendiang Shivaji Ganesan, berjaya mengumpul lebih satu juta tontonan dalam hanya beberapa hari.

“Saya tahu untuk menjadi artis Malaysia, amat penting untuk mengetahui Bahasa Malaysia dalam apa juga yang saya lakukan. Klip video ini adalah satu cara mengajak orang ramai melihat budaya Tamil menggunakan bahasa Melayu dan ia berjaya sampai ke hati mereka.

“Adalah sesuatu yang menggembirakan apabila melihat orang Melayu sukakan klip video saya,” ujarnya kepada FMT.

Bila ditanya bagaimana dia memilih babak yang betul dan menjadikan pergerakan bibir kelihatan begitu ‘menjadi’ walaupun bahasanya berlainan, Santesh mengaku bahawa ia bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan kerja keras.

“Saya dan isteri memilih dari beribu tayangan di YouTube. Syarat pertama, pelakon mestilah popular, sebagai contoh Shivaji adalah nama popular bukan hanya di kalangan masyarakat India tetapi juga orang-orang Melayu lama kerana lakonan dan lawaknya yang begitu bersahaja,” ujarnya.

‘Vaksin di mana?’ satu lagi video dari Santesh yang menjadi hit. (Gambar TikTok iamsantesh)

Kemudian, tiba bahagian mencantumkan gerakan bibir yang betul.

Kata Santesh selepas mempelajari pergerakan bibir pelakon tersebut, dia kemudian memilih lirik dalam Bahasa Malaysia yang mempunyai sebutan terakhir sama dengan gerakan bibir agar ianya menjadi sempurna.

“Inilah bahagian paling sukar,” akui Santesh menerangkan mengapa pembuat klip video mengambil masa yang lama untuk menghasilkan sebuah video.

Namun, ujarnya ia berbaloi apabila melihat hasilnya di versi TikTok yang telah tular.

“Melihat kepada sambutan dari rakyat Malaysia, memberikan kepuasan kepada saya kerana saya tahu klip video ini membantu melegakan tekanan semua.

“Kerana itulah mereka namakan saya ‘Pelega Stres’ dan saya dengan rendah hati menerimanya,” kata Santesh.

Nasihat Santesh kepada rakyat Malaysia sewaktu menjalani PKP 3.0 ini ialah “Duduklah di rumah dalam dua minggu ini dan tontonlah klip video terbaru saya. Relaks dan ‘enjoy’.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua peminat kerana menerima jenaka saya di dalam kehidupan anda. Saya datang dari sebuah keluarga estet yang miskin dan penerimaan seluruh rakyat Malaysia adalah sesuatu yang sungguh luhur,” ujar penyanyi berbakat dari Golconda Estate, Klang yang mempunyai hampir 500,000 pengikut di Facebook.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.