Kilang arak perkhidmatan perlu? soal Pemuda Amanah

Kilang arak perkhidmatan perlu? soal Pemuda Amanah

Ketua Pemuda Amanah, Kevin Shawn Gomex menuntut penjelasan terperinci Menteri MITI, Azmin Ali mengenai surat kebenaran beroperasi yang diberikan kepada kilang minuman keras, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad ketika "lockdown".

Ketua Pemuda Amanah, Kevin Shawn Gomex mempertikaikan sama ada produk kilang Carlsberg Brewery adalah produk keperluan asas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Selepas kecoh pengakuan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob tidak tahu menahu kasino Genting Highlands dibuka ketika tempoh perintah kawalan pergerakan April lalu, kini tular pula surat kebenaran operasi bagi kilang minuman keras, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad sepanjang tempoh “lockdown”.

Surat yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) itu mengesahkan pendaftaran syarikat berkenaan di dalam sistem MITI – Covid-19 Intelligent Management Sistem (CIMS 3.0) di bawah sektor makanan dan minuman dengan subsektor “air”.

Ketua Pemuda Amanah, Kevin Shawn Gomex yang hairan dengan kebenaran operasi itu, menuntut penjelasan terperinci daripada Menteri MITI, Azmin Ali mengenai persoalan yang dibangkitkan netizen.

“Pemuda Amanah berasa hairan kerana pengumuman Ismail Sabri mengatakan hanya industri makanan dan minuman ‘Essential Services’ yang akan dibenarkan beroperasi.

“Kini timbul persoalan adakah produk kilang Carlsberg Brewery produk keperluan asas bagi rakyat Malaysia dan juga barisan hadapan menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin mengganas,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, pihaknya meminta kerajaan menyemak semula kebenaran yang diberikan kepada industri “bukan perlu” untuk meneruskan operasi dalam tempoh “lockdown” yang berkuat kuasa selama dua minggu bermula hari ini.

“Usah bermain judi dengan nyawa rakyat,” tegasnya.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan perniagaan dan sektor dibenarkan beroperasi semasa sekatan penuh perlu memohon melalui pusat sehenti dikendalikan MITI.

Agensi itu berkata, pusat berkenaan akan mengeluarkan surat kebenaran bagi mereka yang disenaraikan sebagai perlu untuk beroperasi selepas mendapat pengesahan daripada kementerian yang mengawasi sektor berkaitan.

Keputusan itu dianggap tindakan pusingan “U” oleh pentadbiran Putrajaya berikutan Ismail Sabri dalam sidang media sehari sebelum itu berkata setiap kementerian akan mengeluarkan surat kepada perniagaan bawah bidangnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.