Sektor perikanan perlu terus beroperasi elak harga ikan melambung, kata persatuan

Sektor perikanan perlu terus beroperasi elak harga ikan melambung, kata persatuan

Kementerian dan agensi berkaitan perlu memastikan insiden nelayan tidak dapat menjual hasil tangkapan walaupun dibenarkan ke laut tidak berulang.

Majlis Keselamatan Negara menyenaraikan 17 sektor yang dibenarkan beroperasi semasa tempoh perintah sekatan penuh bermula esok, termasuk pertanian, ternakan, perikanan, perladangan dan komoditi, serta yang terlibat dalam rantaian bekalan.
PETALING JAYA:
Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) meminta kerajaan memastikan rantaian bekalan sektor perikanan terus berjalan bagi mengelakkan kekurangan bekalan serta kenaikan harga di pasaran.

Setiausahanya, Azrilnizam Omar berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi berkaitan perikanan, iaitu Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) perlu memastikan insiden nelayan tidak dapat menjual hasil tangkapan walaupun dibenarkan ke laut seperti yang berlaku semasa perintah kawalan pergerakan pertama (PKP 1.0) pada Mac tahun lalu tidak berulang.

“Isu peraih enggan membeli hasil tangkapan dan masalah logistik hasil laut yang berlaku semasa PKP 1.0 perlu ditangani sebaiknya oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab.

“Justeru JARING menggesa kerajaan agar menangani isu rantaian bekalan sektor perikanan dengan sebaiknya bagi memastikan kehidupan komuniti nelayan tidak terjejas dan jaminan bekalan hasil laut negara tidak terganggu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 28 Mei, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau “total lockdown” fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.

Dalam kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali ekonomi dan perkhidmatan perlu.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyenaraikan 17 sektor yang dibenarkan beroperasi, termasuk sektor pertanian, ternakan, perikanan, perladangan dan komoditi, selain yang terlibat dalam rantaian bekalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.