Tukar status penghantar makanan kepada pekerja sah, Pemuda Amanah desak syarikat e-hailing

Tukar status penghantar makanan kepada pekerja sah, Pemuda Amanah desak syarikat e-hailing

Pemuda Amanah lancar petisyen tuntut nasib dan masa depan pekerja e-hailing terus terbela, sesuai dengan bertambahnya jumlah rakyat yang bekerja dalam sektor itu.

Pemuda Amanah berkata semua syarikat berkaitan perkhidmatan e-hailing dan penghantaran diminta menukar status pemandu dan penghantar makanan daripada ‘kontraktor biasa’ kepada pekerja yang sah.
PETALING JAYA:
Syarikat penghantaran dan e-hailing di negara ini didesak memberikan caruman perlindungan terutama PERKESO dan KWSP setaraf dengan pekerja sektor lain kepada pemandu dan penghantar makanan, kata Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Beliau berkata, semua syarikat berkaitan perkhidmatan itu juga diminta menukar status pemandu dan penghantar makanan daripada “kontraktor biasa” kepada pekerja yang sah.

Katanya, Grab hanya menawarkan caruman secara sukarela kepada pemandu mereka, manakala sumbangan majikan pula hanya sebanyak 5% dan terhad kepada RM80 setahun.

“Ini suatu ketidakadilan, bila majikan lain perlu menyumbang 13% daripada gaji pekerja tanpa ada had tahunan. Sepatutnya penghantar makanan dan pemandu e-hailing perlu diberi layanan yang sama seperti pekerja lain,” katanya dalam kenyataan.

Shazni berkata, pemandu dan penghantar makanan juga dianggap kontraktor bebas, bukan pekerja sah yang tertakluk kepada Akta Kerja 1955.

“Ini membuka ruang yang luas kepada penindasan, kerana pekerja sah sepatutnya boleh mendapat manfaat cuti, gaji lebih masa dan boleh membawa majikan ke mahkamah sekiranya berlaku ketidakadilan.

“Negara lain seperti United Kingdom sudah pun melihat situasi ini dan menyuruh syarikat e-hailing untuk melayan pemandu mereka seperti pekerja, dan bukan kontraktor bebas,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda Amanah melahirkan kegusaran terhadap nasib penghantar makanan yang bekerja dengan syarikat e-hailing yang bakal bertambah jumlahnya berikutan “total lockdown” yang akan berkuatkuasa esok.

“Atas maksud dan tujuan tersebut, kami melancarkan petisyen agar nasib dan masa depan tunjang e-hailing ini terus terbela, sesuai dengan bertambahnya jumlah rakyat Malaysia yang bekerja dalam bidang tersebut,” katanya.

Orang ramai boleh mengakses atau membuka petisyen itu di pautan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.