Warga emas hidup daif di rumah usang ‘bertemankan’ nyamuk, pijat

Warga emas hidup daif di rumah usang ‘bertemankan’ nyamuk, pijat

Tew Ah Kaw, 83, tidur di atas katil besi tanpa tilam dan setiap pagi beliau disambut oleh nyamuk dan pijat.

Tew Ah Kaw, 83, di rumah usangnya di Durian Tunggal, Melaka. (Gambar Great Heart)
MELAKA:
Dengan kaki yang cedera dan tanpa tempat tidur selesa melainkan sebuah katil besi tanpa tilam, Tew Ah Kaw tidak lagi mendapat tidur lena sejak sekian lama.

Pada sebelah pagi, lelaki bujang berusia 83 tahun ini dikejutkan oleh pijat dan nyamuk yang menjadi penghuni tetap di rumah usangnya di Durian Tunggal.

“Ia terus mengerumuni saya dan tidak pernah tidak ada. Gatal dan pedih,” katanya.

Awal minggu lepas, beberapa barang miliknya yang tak seberapa itu dimusnahkan dalam banjir kilat.

Keadaan dalam rumah Tew dan katil besi tanpa tilam yang menjadi tempat tidurnya. (Gambar Great Heart)

Beliau berdepan tugas berat untuk membersihkan longkang tersumbat di belakang rumahnya.

Hidup tidaklah sentiasa payah buat Tew, yang pernah bekerja mengangkut balak ke Singapura hingga lewat 1980-an apabila kesihatan fizikalnya mula merosot.

“Dulu saya tinggal di sebuah rumah lain yang berdekatan, tetapi saya terpaksa meninggalkannya kerana terdapat rancangan untuk membina jalan di kawasan itu.

“Saya tinggal di sini sejak empat hingga lima tahun lepas.

Hidup ala kadar sejak berpindah, Tew kini telah hilang semangat untuk terus hidup, apatah lagi berusaha membaiki keadaan rumahnya itu.

“Kalaupun saya mendapat semangat untuk mengemas rumah, saya perlukan duit untuk melakukannya, bukan?” katanya.

Banjir kilat baru-baru ini merosakkan barang milik Tew yang tak seberapa.(Gambar Great Heart)

“Lagipun tidak banyak yang boleh saya buat dengan keadaan kaki saya sekarang.”

Walaupun jiran tetangga yang tinggal berdekatan ada membantunya dengan perbelanjaan harian, namun sumber utama pendapatan beliau ialah bantuan bulanan sebanyak RM300 yang diterimanya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ia biasanya dibelanjakan untuk membeli barang keperluan harian dan sesekali untuk minum di kedai mamak.

Tanpa tandas yang sempurna, Tew mandi air paip yang ditadah dalam tin cat lama dan menggunakan tandas cangkung – suatu tugas yang menyakitkan, katanya.

Hanya anak saudaranya yang masih ada. Suami beliau membawa Tew ke hospital untuk mencuci luka di kakinya tiga kali seminggu.

Kaki Tew yang cedera membataskan pergerakannya dan hanya mampu menghabiskan masanya dengan duduk seorang diri dan melihat dunia luar dari pintu rumah usang itu.  (Gambar Great Heart)

Kesukaran hidup beliau mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Great Heart yang kini mengumpul dana untuk membaiki rumahnya.

Wakil Great Heart Lim Weii Liian berkata, beliau mengetahui tentang masalah Tew sewaktu memandu melepasi warga emas itu berjalan perlahan di tepi jalan besar.

“Saya membuat keputusan untuk memberhentikan kereta dan menawarkan untuk menghantarnya ke destinasi yang dituju.

“Tew memberitahu bahawa beliau baharu balik dari hospital dan sebenarnya berada di depan rumahnya,” kata Lim kepada FMT.

“Bila saya lihat rumah yang ditunjukkan itu, saya terperanjat kerana ia kelihatan seperti rumah tinggal.”

Persatuan itu pada mulanya membuat tawaran untuk menghantarnya ke rumah orang tua, tetapi Tew berkata, beliau tidak berminat dengan idea itu dan lebih suka hidup sendiri di rumahnya.

Lim berkata, persatuan itu kemudiannya membuat keputusan untuk mengubah suai dan membersihkan rumah Tew, yang dikelilingi pokok dan rumput yang tumbuh meliar.

“Paling tidak dengan cara ini, beliau boleh hidup lebih selesa,” kata Lim.

Bagaimanapun usaha persatuan itu tertangguh susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan peningkatan kes Covid-19.

Great Hope berharap dapat mengumpulkan dana sebanyak RM6,500 antara lain untuk tujuan kawalan serangga, bahan ubah suai dan perabot baharu.

Individu yang berminat membantu Tew boleh menyumbang kepada Great Heart di (https://www.greatheartcharity.org.my/p/tew-ah-kaw/) atau menghubungi persatuan di 017-8848592 atau e-mel di ([email protected].)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.