
Katanya, sikap tidak jujur itu telah berlaku ketika sambutan Aidilfitri apabila orang ramai menggunakan pelbagai alasan untuk balik kampung beraya walaupun dilarang berbuat demikian, seterusnya 200,000 kenderaan berjaya melepasi sekatan jalan raya.
“Kita boleh menipu pihak polis tetapi kita tidak boleh menipu Covid-19 yang berada di mana-mana,” katanya ketika sidang media hari ini.
Katanya, kesan daripada sikap menipu itu menyebabkan berlaku kluster Hari Raya dan ramai dijangkiti sehingga ada ahli keluarga meninggal dunia.
“Sebab itulah apabila kerajaan membuat sekatan kita sudah mendapat laporan dari KKM mengenai jangkaan apa akan berlaku kalau kita buka rentas daerah, negeri. Ketua pengarah kesihatan kata kalau kita buka balik beraya, aktiviti ziarah kes harian mungkin 13,000 hingga 15,000 sehari.
“Apa yang diunjurkannya berlaku…kini ramai bersedih selepas raya apabila keluarga mereka menjadi mangsa,” katanya.
Ismail turut merayu supaya orang ramai bersikap jujur dalam memohon kebenaran rentas negeri dan daerah bagi tujuan kecemasan dan ahli keluarga yang sedang nazak apabila PKP penuh berkuat kuasa pada 1 Jun ini.
“Kita membenarkan rentas negeri melibatkan kes kecemasan, kematian, sakit nazak. Boleh dirujuk kepada pihak polis.
“Cuma saya minta rakyat perlu jujur apabila memohon kebenaran. Saya difahamkan oleh polis banyak kes terpaksa ditolak kerana diragui, tetapi ada juga yang mereka benar-benar mahu lawat ibu bapa sakit teruk.”
Katanya, lebih malang apabila ada kes melibatkan kebenaran hanya diperoleh selepas ahli keluarga terlibat meninggal disebabkan polis terpaksa berhati-hati menyaring permohonan dikemukakan.
PKPD di 3 lokaliti di Sabah
Dalam perkembangan sama Ismail memaklumkan kerajaan akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di beberapa kawasan di Sabah selama 14 hari bermula 1 Jun susulan peningkatan jangkitan Covid-19.
Ia membabitkan Kampung Tanjung Kapor, Kudat, Kampung Assam, Lahad Datu,Taman Pelangi, Semporna, dan Kampung Payas-Payas, Kampung Rampayan Laut, di Kota Belut,Sabah.
Sementara itu PKPD di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra, Kedah dilanjut sehingga 14 Jun.
Manakala PKPD di 16 lokaliti di Sungai Ruan dan 7 lokaliti di Sempalit, Raub, Pahang bermula esok lebih awal berbanding tarikh awal 4 Jun.
Dalam perkembangan sama Ismail memaklumkan polis semalam menahan 749 individu atas kesalahan ingkar SOP apabila 729 individu dikompaun manakala 18 lagi direman dan dua dijamin.