Pecah rekod Covid-19, 5 hari berturut-turut minggu ini

Pecah rekod Covid-19, 5 hari berturut-turut minggu ini

Jumlah jangkitan harian Covid-19 kekal meningkat kepada jumlah rekod, manakala kematian mencatatkan jumlah tertinggi, sebanyak 98 kes, semalam.

PETALING JAYA:
Minggu ini, negara mencatatkan pelbagai rekod, namun bukan yang baik, apabila Kementerian Kesihatan (KKM) sekali lagi melaporkan rekod angka jangkitan tertinggi Covid-19, iaitu sebanyak 9,020 kes.

Semalam adalah hari kelima berturut-turut angka jangkitan Covid-19 di negara ini melepasi paras tertinggi kes harian. Kematian tertinggi turut dicatatkan semalam, dengan 98 kes.

Pada 25 Mei, negara melepasi paras 7,000 buat pertama kali dengan 7,289 kes dilaporkan. Angka tersebut terus meningkat kepada paras tertinggi pada empat hari berturut-turut selepas itu, dengan 7,478, 7,857, 8,290 and 9,020 jangkitan dicatatkan.

Lonjakan ini tambah membebankan sistem penjagaan kesihatan, apabila negeri-negeri seperti Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan 907 dan 898 kes semalam. Labuan turut mencatatkan peningkatan tertinggi semalam, dengan 253 kes.

Sepanjang minggu ini, 451 kematian dicatatkan, dan setakat semalam, jumlah keseluruhan kematian adalah 2,650.

Minggu ini juga, sejumlah 53,419 jangkitan baharu dikesan, berbanding 30,432 kes pulih, manakala 76,218 masih menerima rawatan.

Sejak 16 Mei, 145 kluster baharu turut dikesan. Bagaimanapun, walaupun lonjakan kes konsisten, kadar jangkitan menurun, daripada 1.21 awal minggu ini kepada 1.15.

Setakat 28 Mei, seramai 2.7 juta individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, bertambah daripada 1.42 juta pada permulaan minggu.

Covid-19 menjadi topik hangat

FMT mengimbas kembali beberapa tajuk berita utama berkenaan Covid-19 sepanjang seminggu lalu.

Sekatan pergerakan menyeluruh dikuatkuasakan

Selepas negara mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi ketika itu, iaitu dengan 8,290 kes pada Jumaat, kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan menyeluruh di seluruh negara, mirip perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama, bermula 1 Jun hingga 14 Jun.

Seruan daripada ahli politik dan rakyat agar sekatan pergerakan menyeluruh dilaksanakan semakin kuat, dengan Sultan Johor turut memberikan pandangan.

Hanya sektor perkhidmatan dan ekonomi perlu dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan ini. Bagaimanapun, Sarawak dilaporkan membuat keputusan untuk tidak mengikut Putrajaya, dan akan meneruskan PKP.

Minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan kawalan pergerakan yang lebih ketat, bukan sekatan menyeluruh, kerana ia akan menyebabkan lebih ramai kehilangan pekerjaan, mengakibatkan mereka tidak dapat menampung kehidupan dan menghidupkan ekonomi.

Kes per kapita mengatasi India

Pada 23 Mei, Malaysia mengatasi India dalam bilangan kes per kapita selepas merekodkan 185.3 jangkitan harian baharu per sejuta penduduk pada purata tujuh hari.

Sebagai perbandingan, India mencatatkan 184.99 kes per sejuta penduduk, manakala bagi Amerika Syarikat, 76.31 kes per sejuta penduduk, menurut data Universiti Johns Hopkins yang diterbitkan dalam penerbitan saintifik dalam talian, Our World in Data.

Pada 6 Mei, India mencipta rekod global baharu dengan mencatatkan 414,188 kes, di kala negara itu bertarung dengan gelombang baharu wabak.

Pendaftaran pengambilan vaksin AstraZeneca bukan lagi secara sukarela

Setelah pusingan kedua pendaftaran bagi pengambilan vaksin AstraZeneca mendapat sambutan baik, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin mengumumkan pada sidang media bahawa kumpulan seterusnya bagi suntikan vaksin tersebut bukan lagi secara sukarela.

Sebaliknya, ia akan dimasukkan kembali ke dalam arus perdana PICK.

Kata Khairy, ini kerana sambutan baik terhadap vaksin tersebut menunjukkan tidak ada lagi keraguan dalam kalangan rakyat mengenainya.

Bagaimanapun, Khairy berdepan kecaman hebat berhubung proses pendaftaran pengambilan vaksin berkenaan yang bercelaru, dengan para pendaftar berdepan pelbagai isu teknikal, ketika sejuta slot yang tersedia habis ditempah dalam tempoh kira-kira sejam.

Pilih vaksin yang dikehendaki

Pada sidang media yang sama, Khairy turut mengumumkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sedang mempertimbangkan menambah ciri dalam aplikasi MySejahtera yang membolehkan orang ramai memilih vaksin mana yang mereka ingin bawah PICK.

Beliau berkata, ciri ini juga akan mengizinkan pengguna memilih tarikh, masa dan tempat pengambilan vaksin yang dikehendaki, sambil menjadikan proses itu lebih lancar dan mudah.

Tambah beliau, ini akan diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Memakai pelitup muka dua lapis lebih baik

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai untuk memakai pelitup muka dua lapis untuk memastikan perlindungan maksimum terhadap Covid-19.

Ini boleh dilakukan dengan memakai pelitup muka fabrik di atas pelitup muka gred perubatan, yang dikatakan akan membantu menapis lebih banyak partikel berbanding memanding pelitup muka fabrik sahaja.

Orang ramai dinasihatkan supaya gandakan pelitup muka gred perubatan dengan pelitup muka fabrik, sementara ini tidak perlu bagi pelitup muka jenis N95.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.