
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi memastikan penularan Covid-19 berjaya dibendung.
“Pasangan (jarak jauh) perlu berkorban. Kita juga tidak benarkan mereka rentas daerah dan negeri,” katanya pada sidang media khas hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan untuk aktiviti rentas daerah dan negeri bagi tujuan pekerjaan atau yang berkaitan, surat kebenaran perjalanan yang diluluskan sebelum ini tidak lagi boleh dipakai mulai Selasa, dan surat kebenaran baharu hanya akan dikeluarkan kementerian berkaitan.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih boleh mengeluarkan surat kebenaran untuk merentas daerah atau negeri bagi tujuan kecemasan, seperti keadaan kesihatan ahli keluarga atau kematian.
“Dengan pelaksanaan ‘lockdown’ ini, semua surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terbatal mulai 1 Jun.
“Menteri Kanan (Kerja Raya) Fadillah Yusof akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berhubung surat kebenaran pergerakan pekerja esok,” kata Ismail.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas majikan swasta yang memaksa pekerja berada di pejabat melebihi kapasiti 60% yang dibenarkan.
“Pihak PDRM dan penguatkuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membuat pemantauan. Tindakan paling tegas perlu diambil kepada majikan yang degil.
“Saya juga berharap pekerja melaporkan segera sekiranya majikan mereka melanggar arahan yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan “total lockdown” di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 Jun.
Sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).