
Dalam rakaman video yang tular di media sosial, dilihat pergelutan tercetus antara pekerja dan lelaki berkenaan ketika mereka cuba menghalaunya keluar, lapor Harian Metro.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan Lim Jaw Shyong, kejadian itu berlaku di sebuah pasar raya di Kota Sentosa sekitar 4.30 petang, dan apabila pasukan Task Force 4 Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan tiba di tempat kejadian, lelaki berkenaan sudah beredar.
“Polis berjumpa dengan pengurus pasar raya terbabit dan hasil siasatan mendapati lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai dalam keadaan mabuk masuk ke pasar raya tanpa memakai pelitup muka.
“Sebelum kejadian, dia dinasihatkan pihak pengurusan pasar raya untuk memakai pelitup muka tetapi berdegil lalu mengamuk sebelum pekerja pasar raya itu terpaksa menggunakan kekerasan menghalaunya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dimaklumkan lelaki terbabit tidak mengalami kecederaan yang serius, menurut Lim.