Tiada pembelian panik melampau, tapi orang ramai berpusu-pusu di pasar raya

Tiada pembelian panik melampau, tapi orang ramai berpusu-pusu di pasar raya

Orang ramai dilihat beratur panjang di luar premis berikutan peraturan ketat yang dikenakan selepas kerajaan menghadkan jumlah pengunjung pada satu-satu masa.

PETALING JAYA:
Pengumuman pelaksanaan perintah sekatan menyeluruh sektor sosial dan ekonomi atau “total lockdown” selama 14 hari bermula 1 Jun dilihat tidak menyebabkan berlakunya pembelian panik melampau kerana rakyat sudah bersedia susulan pengalaman melalui tempoh perintah kawalan pergerakan pertama (PKP 1.0) sebelum ini.

Tinjauan FMT di beberapa pasar borong, pasar raya dan kedai runcit di sekitar Kota Damansara dan Petaling Jaya dan Cheras keadaan adalah terkawal dan aktiviti jual beli berjalan lancar tanpa berlakunya pembelian panik orang ramai.

Bagaimanapun orang ramai dilihat mengambil peluang membuat “persiapan akhir” dengan keluar membeli barang keperluan harian hujung minggu.

Ini menyebabkan keadaan di sesetengah pasar raya utama seperti NSK di Kota Damansara dan Bandar Mahkota agak sesak apabila orang ramai terpaksa beratur panjang menunggu giliran memasuki premis.

Kawalan ketat di setiap premis dilihat bertujuan memastikan orang ramai tidak bersesak-sesak dan kekal mengamalkan penjarakan fizikal.

Wakil NSK Kota Damansara yang mahu dikenali sebagai Lim, ketika ditemui berkata, orang ramai tidak melakukan pembelian panik hari ini walaupun kerajaan mengumumkan pelaksanaan “lockdown” malam tadi.

Beliau berkata, ini mungkin kerana mereka sudah belajar daripada pengalaman sewaktu PKP 1.0 sebelum ini.

“Hari ini orang ramai sedikit berbanding hari biasa. Pertama mungkin sebab cuti hujung minggu dan kedua kerana kita hadkan jumlah kemasukan dalam satu-satu masa.

“Ini selaras dengan arahan kerajaan menyebabkan orang ramai terpaksa beratur hingga ke luar premis.

“Saya lihat tiada pembelian panic. Orang ramai yang keluar selepas membeli-belah tidak membawa banyak barang-barang.

Pembeli bersama troli yang diisi dengan barang keperluan harian di sebuah pusat beli-belah.

“Selain itu, bekalan barang-barang kita mencukupi,” katanya kepada FMT.

Peningkatan jumlah pengunjung turut berlaku di NSK Bandar Mahkota yang menyaksikan ramai beratur panjang untuk membeli barang keperluan harian masing-masing.

Pengurusnya, yang mahu dikenali sebagai Foo memberi jaminan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang dengan melakukan pembelian panik.

Ini kerana kata beliau, pihaknya telah membuat persediaan rapi dengan bekalan mencukupi dan operasi premis yang dibuka setiap hari.

Foo juga berkata, pihak pengurusan telah mengarahkan kakitangan untuk mengawal pergerakan orang ramai bagi memastikan mereka tidak bersesak-sesak dan tidak mematuhi peraturan penjarakan fizikal.

Sementara itu, seorang pekerja pasar raya di Seksyen 6 Kota Damansara, yang mahu dikenali sebagai Nurul Fariza Zakaria berkata, urusan jual beli pengunjung masih terkawal berbanding pelaksanaan perintah kawalan sebelum ini.

“Semasa PKP sebelum ini, pengunjung membeli barang dalam kuantiti yang banyak sehingga menyukarkan pengunjung lain mendapatkan barang keperluan asas yang sama.

“Tetapi kali ini pembelian panik tidak berlaku di premis ini setakat ini. Kalau dulu orang berpusu-pusu beli telur, sardin, roti, dan sebagainya.

“Ramai sudah bersedia dan sudah bijak merancang pembelian untuk kegunaan selama tempoh PKP,” katanya.

Bagi Mohd Fadli Rahmat, beliau memilih keluar untuk membeli barang keperluan hari ini sebagai persiapan sepanjang “lockdown” selama 14 hari.

“Saya beli barang awal sebab malas nak keluar banyak kali kerana bimbang wabak Covid-19 makin mengganas.

“Jadi mulai 1 Jun kami sekeluarga akan duduk di rumah sahaja. Barang-barang yang dibeli hari ini cukup untuk dua minggu,” katanya.

Bagi Nadiah Abdul Razak pula, beliau tidak melakukan pembelian panik kali ini, tetapi sekadar menambah barang yang kurang di rumah. Beliau percaya bekalan mencukupi.

“Kalau dulu betul panik sebab kita tak tahu barang cukup ke tak cukup. Masa PKP 1.0, dua troli kami beli, tapi kali ini separuh pun tak penuh.

Kalau kami tamak membeli banyak-banyak, kadang-kadang ia tidak habis atau tamat tempoh menyebabkan ia membazir,” katanya.

Dalam pada itu, bagi pengunjung, Mages tidak melepaskan peluang untuk membeli bekalan dalam kuantiti banyak sehingga memenuhi troli untuk tujuan perniagaan kedai makannya sepanjang tempoh “lockdown”.

“Saya perlu beratur selama 40 minit sebelum berjaya memasuki premis,” katanya kepada FMT sebelum berkata, beliau bimbang akan berlaku kekurangan bekalan apabila orang ramai mula melakukan pembelian panik.

“Saya harap kali ini, keadaan tidak seteruk PKP 1.0,” katanya, merujuk kepada insiden bekalan barangan terputus menyebabkan rak di pasar raya kosong.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barang keperluan di seluruh negara masih stabil dan mencukupi semasa fasa ‘lockdown’ ini.

“Kementerian ingin menyeru kepada semua pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan bagi mengelakkan gangguan bekalan di premis-premis jualan,” kata menterinya, Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.