Berang ditegur tak pakai pelitup muka, lelaki terajang orang ala Kung Fu di kedai serbaneka

Berang ditegur tak pakai pelitup muka, lelaki terajang orang ala Kung Fu di kedai serbaneka

Lelaki berkenaan ditahan sehari selepas kejadian, yang rakamannya tular di aplikasi WhatsApp.

PETALING JAYA:
Seorang lelaki menyerang beberapa orang di sebuah kedai serbaneka di Kuala Terengganu kerana berang selepas dikatakan ditegur tidak memakai pelitup muka.

Dalam kejadian pada 2.10 petang Khamis lalu, lelaki itu dilihat menerusi rakaman CCTV memasuki kedai, kemudian tiba-tiba menendang seorang pelanggan lelaki lain selepas berjalan melalui lorong menjual gula-gula di kedai berkenaan.

Setelah mengambil minuman dari peti sejuk, dia berdiri di barisan untuk membayar pembelian, dan beberapa saat kemudian, menerkam ke arah seorang wanita yang berdiri berdekatannya dan menendangnya berulang kali.

Rakaman CCTV kejadian tersebut menjadi tular di WhatsApp.

Ketua Polis Terengganu Roslee Chik berkata, lelaki berkenaan turut menendang rak di dalam kedai terbabit sehingga menyebabkan barangan jatuh, dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM100.

Katanya, dua mangsa tersebut, iaitu seorang pelajar berusia 23 tahun dan arkitek berusia 28 tahun, telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Seorang pekerja stesen minyak, yang turut mendakwa diserang lelaki sama, masih belum membuat laporan.

Suspek berkenaan kemudian ditahan di rumahnya di Jalan Panji Alam pada 10 malam semalam dan direman selama empat hari.

Kes akan disiasat bawah Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan khianat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.