
Beliau berkata, ekonomi gig dinamakan sedemikian atas beberapa sebab, antaranya kerana ia sepatutnya bersifat sementara, bukan menjadi pekerjaan sepenuh masa.
“Ekonomi gig adalah apa yang dilihat kebanyakan anak muda sekarang, sebagai pemandu e-hailing atau penghantar makanan.
“Tetapi saya menasihati mereka supaya tidak melakukan pekerjaan itu untuk tempoh lebih dari dua tahun. Sekiranya anda tamat pengajian atau baru menamatkan persekolahan, anda harus melihat pekerjaan yang berpotensi berkembang dalam jangka masa panjang,” kata beliau.

Wong berkata, pemilihan pekerjaan ekonomi gig sepenuh masa akan membazirkan pendidikan anak muda dan mengehadkan jumlah pendapatan mereka pada masa akan datang.
Beliau turut menasihatkan belia untuk tidak berhenti mengejar impian kerjaya berdasarkan latihan atau pendidikan yang diterima, meskipun terdapat kesan pandemik dalam pasaran pekerjaan ketika ini.
Katanya, dari segi pekerjaan yang akan menjadi pilihan pada masa depan, beliau menyarankan bidang automotif sebagai persediaan menghadapi revolusi perindustrian keempat.
“Dalam konteks Malaysia ini termasuk pekerjaan dalam bidang data, e-dagang dan kejuruteraan,” katanya sambil menambah bahawa ia juga bergantung pada situasi negara.
Kata beliau, di China, misalnya pertumbuhan pasaran pengguna bermaksud pekerjaan dalam bidang pemasaran, penjualan dan sumber manusia mungkin menjadi sangat berharga pada tahun akan datang.