Kakitangan ‘dikerah’ ke pejabat walau jadi kontak rapat Covid-19? MPKj nafi dakwaan

Kakitangan ‘dikerah’ ke pejabat walau jadi kontak rapat Covid-19? MPKj nafi dakwaan

Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan tiada arahan sedemikian dikeluarkan malah komited mematuhi SOP PKP 3.0.

Kajang yang berada dalam zon merah sejak enam bulan lalu mencatatkan 846 kes aktif menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 14,319 bagi daerah itu.
PETALING JAYA:
Kakitangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mendakwa mereka diarahkan untuk hadir ke pejabat walaupun menjadi kontak rapat kes positif Covid-19.

Sumber mendedahkan, kakitangan yang menjadi kontak rapat tidak menerima arahan kuarantin selama 14 hari di rumah seperti SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), sebaliknya “dikerah” ke pejabat selepas lima hari menjalani ujian saringan.

“Ada dalam kalangan kakitangan yang diarahkan bekerja semula selepas beberapa hari menjalani saringan. Walaupun tiada gejala tetapi semua jadi takut nak datang pejabat sebab takut mudah berjangkit tanpa sedar.

“Dalam kes terbaharu, ujian saringan kedua seorang kakitangan didapati positif dan dia sudah lebih tiga hari mula bekerja di pejabat,” katanya kepada FMT.

Katanya, sejak awal tahun ini, kira-kira 30 kes positif membabitkan kakitangan MPKj dicatatkan termasuk 17 kes direkodkan selepas kakitangan kembali bertugas selepas cuti Aidilfitri dua minggu lalu.

“Kami bimbang kegagalan pematuhan terhadap SOP ini akan menyebabkan lebih ramai kakitangan dijangkiti dan mengakibatkan wujud kluster yang besar,” katanya.

Dakwanya, pengurusan MPKj dilihat memandang ringan pematuhan arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 apabila mengarahkan kakitangan hadir ke pejabat dengan kapasiti 100% walaupun kerajaan mengumumkan inisiatif bekerja dari rumah dengan hanya 20% sahaja kakitangan di pejabat sehingga PKP tamat pada 7 Jun ini.

Katanya, sudah tentu usaha mengekang dan mengurangkan jangkitan sukar dicapai jika arahan kerajaan tidak dipatuhi dan kehadiran pekerja sama seperti biasa.

“Kami faham banyak urusan serta operasi perlu diselesaikan tetapi ia boleh juga dilakukan dengan kaedah bekerja dari rumah. Nyawa kakitangan diperjudikan hanya kerana mahu memastikan kelancaran operasi,” katanya.

Lebih membingungkan kakitangan, faedah peruntukan untuk mereka juga berkurangan akibat terlalu kerap menjalani ujian saringan di klinik swasta, dakwa sumber itu.

Untuk rekod, Kajang yang berada dalam zon merah sejak enam bulan lalu mencatatkan 846 kes aktif menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 14,319 bagi daerah itu.

Sementara itu, MPKj ketika dihubungi FMT menafikan dakwaan dan memaklumkan tiada arahan supaya kakitangan yang positif dan kontak rapat bertugas malah menegaskan mereka komited untuk patuh SOP PKP 3.0 yang diumumkan baru-baru ini.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Kamarul Izlan Sulaiman, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sudah melaksanakan ujian saringan besar-besaran terhadap semua pegawai dan kakitangan semalam dan kos ditanggung sepenuhnya oleh MPKj.

Sehubungan itu katanya, operasi pejabat MPKj juga ditutup dua hari bermula semalam bagi tujuan sanitasi pejabat.

“MPKj juga bekerjasama rapat dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat (PKDHL) yang mana semua kontak rapat diberikan gelang ‘pink’ dan wajib dikuarantin di rumah sehingga pelepasan diberi.

“MPKj tidak pernah menghalang kakitangan yang mempunyai kontak rapat untuk dikuarantin. Semua kakitangan yang mempunyai kontak rapat diarahkan untuk merujuk PKDHL bagi menjalani saringan dan tempoh kuarantin,” katanya.

Mengenai dakwaan diarah bekerja dengan kapasiti penuh, Kamarul Izlan berkata, operasi pejabat dan kaunter PBT itu sudah dipendekkan kepada 9 pagi hingga 4 petang manakala bagi kaunter jabatan lain, boleh dilakukan secara janji temu.

“Arahan bertugas bagi kakitangan awam pula adalah 20% di pejabat dan selebihnya bekerja dari rumah manakala bagi perkhidmatan perlu dan petugas barisan hadapan mengikut keperluan perkhidmatan yang MPKj berikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.