
Beliau berkata, Ketua Balai Polis Presint 7 bersama dua pegawai JKM telah mengunjungi rumah kanak-kanak itu yang juga sebuah kuarters penjawat awam, petang semalam.
“Ibu bapa kanak-kanak itu diberi amaran agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka supaya kejadian tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Fadzil berkata, pegawai JKM juga telah mengambil butir-butir peribadi ibu bapa kanak-kanak tersebut dan menasihatkan agar kebajikan serta keselamatan anak-anak mereka sentiasa dijaga.
Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan pasangan suami isteri berkenaan mempunyai enam anak dan kanak-kanak yang tular itu adalah anak keempat.
Katanya, bapa kepada kanak-kanak berkenaan adalah seorang pesara tentera, manakala ibunya seorang penjawat awam.
Sebelum itu, tular video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki sedang bermain di luar beranda sebuah pangsapuri yang kemudiannya memanjat pagar dan berjalan di sepanjang kaki lima beranda itu sebelum menjengah ke rumah jirannya.