
Wisma Putra dalam kenyataan menggesa individu serta pemilik akaun Instagram @iesya_toh dan @nurhelizahelmi untuk segera tampil dan mengemukakan maklumat berkenaan wanita berkenaan.
Menurut kenyataan itu, Wisma Putra mengambil maklum perkongsian yang tular di media sosial berhubung penahanan pegawai perubatan Malaysia itu oleh pihak Israel, namun Kementerian Luar tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden yang berlaku.
“Ia sekaligus menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia untuk menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular yang sewajarnya.
“Mana-mana individu lain yang mempunyai maklumat yang sahih berhubung identiti serta keberadaan ‘Dr Nur’ turut digesa untuk tampil dan mengemukakan maklumat tersebut melalui e-mel [email protected],” kata kenyataan itu semalam.
Wisma Putra juga cuba menghubungi dua individu yang didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bernama Dr Aida dan Dr Shafiq bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Dr Nur, namun kedua-dua mereka tidak dapat dihubungi.
“Maklumat lanjut mengenai perkara ini adalah penting untuk pihak kementerian mencari jalan penyelesaian untuk membantu ‘Dr Nur’,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan, semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati bahawa tiada individu bernama Dr Nur yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.
“Dalam masa sama, Kementerian Luar Negeri telah berhubung dengan pihak-pihak berkuasa di Malaysia untuk membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan ‘Dr Nur’.
“Kementerian Luar Negeri telah mengumpul maklumat berkenaan laporan yang dikemukakan orang awam termasuk tangkap layar hantaran yang dibuat orang awam berhubung insiden yang menimpa ‘Dr Nur’, dan telah memanjangkan maklumat tersebut kepada pihak polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa kenyataan mendakwa pegawai perubatan warganegara dikatakan telah ditahan pihak Israel ketika memasuki sempadan kem bagi memberi rawatan perubatan kepada rakyat Palestin.
‘Dr Nur’ juga didakwa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, luka teruk di bahagian dada, patah tangan, selain ditembak di kaki kerana melawan tentera terbabit.