Silibus subjek Sejarah jauh daripada memuaskan, kata guru

Silibus subjek Sejarah jauh daripada memuaskan, kata guru

Mereka berkata, ia terlalu tertumpu kepada naratif berpaksikan Melayu dan mengabaikan konteks global peristiwa sejarah.

Silibus subjek Sejarah gagal memupuk kefahaman sebenar mengenai kepentingan peristiwa yang berlaku dan maknanya dalam konteks global, kata guru. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa orang guru menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap silibus subjek Sejarah untuk sekolah menengah dengan berkata, ia tidak memperkuat patriotisme dan rasa keterpunyaan yang sepatutnya dipupuk oleh subjek tersebut.

Mereka juga berkata, ia terlalu tertumpu kepada naratif berpaksikan Melayu dan meminggirkan konteks global peristiwa sejarah, sekali gus memberikan perspektif terhad berhubung asal-usul Malaysia dan langkah yang dilalui negara untuk sampai ke hari ini.

Bekas pengetua Setapak High School V Chakaravarthy berkata, pengaruh “ideologi kekuasaan Melayu” dalam pendidikan menyaksikan bahagian penting sejarah negara diketepikan menyebabkan pelajar daripada latar belakang Cina dan India berasa kurang diwakili dalam silibus yang perlu mereka pelajari.

“Sebagai pendidik ia sesuatu yang menyedihkan,” katanya kepada FMT.

“Ramai pelajar tidak mengenali tokoh penting negara ini.”

Menyebut contoh beliau berkata, kurang perhatian diberikan kepada R Ramani, peguam perlembagaan terkenal yang dilantik sebagai presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1965 dan memainkan peranan utama dalam menolak tuntutan Filipina ke atas Sabah.

“Beliau dipandang tinggi dalam kalangan rakan sejawatnya dan sangat dihormati ketika membuat tugasan di luar negara,” katanya.

“Namun pelajar tidak tahu apa-apa mengenainya apabila mereka belajar tentang asal usul negara ini.

“Sejarah diselewengkan. Ia seolah-olah dimiliki oleh satu kumpulan orang, sedangkan ia sepatutnya merupakan naratif yang dikongsi bersama.”

Dua guru yang bercakap dengan FMT berhubung isu yang sama bagaimanapun enggan dikenali.

Seorang daripada mereka yang mengajar subjek Sejarah selama 20 tahun di Pulau Pinang sehingga 2009 berkata, mengabaikan sumbangan orang bukan Melayu akan menghakis rasa keterpunyaan kepada negara dalam kalangan pelajar bukan Melayu.

Ini katanya, akan lebih memudahkan mereka menawarkan kebolehan masing-masing ke negara lain pada masa depan.

“Apabila kanak-kanak diajar bahawa nenek moyang mereka membantu membangunkan negara ini, ia akan memupuk patriotisme dan rasa keterpunyaan. Malangnya tidak semua orang mendapat peluang yang saksama.

“Benar, raja-raja memainkan peranan penting dalam membangunkan negara, tetapi bagaimana pula ramai orang Cina dan India yang melombong bijih timah dan menoreh getah? Atau yang membina jalan kereta api? Atau orang Sikh yang berkhidmat dalam tentera?

Beliau berkata, guru bertanggungjawab mengisi lompang yang ada supaya pelajar memperoleh “cerita sebenar” walau apapun kandungan silibus dengan memasukkan tambahan konteks yang diperlukan.

Seorang guru di Kedah yang mengajar subjek Sejarah Tingkatan 6 berkata, silibus gagal memupuk kefahaman sebenar mengenai kepentingan peristiwa sejarah dan maknanya dalam konteks global.

“Idealnya, pelajar harus diajar tentang bagaimana masa lampau membentuk masa kini dan apakah pengajarannya tentang masa depan,” kata beliau.

“Sebaliknya sejarah kerap diajar mengenai senarai peristiwa tanpa meneroka bagaimana ia berkait antara satu sama lain.”

Beliau berkata, falsafah “mengajar untuk lulus peperiksaan” tidak menggalakkan pelajar berfikir secara kritikal mengenai sejarah.

“Ia hanya mengenai mengingat tarikh dan kejadian. Pelajar perlu digalakkan berfikir secara lebih luas berhubung konteks peristiwa yang berlaku. Tentang bagaimana dan kenapa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.