
Kematian Surendran Shanker menyusul hanya sebulan selepas penjual susu lembu, A Ganapathy pada 18 April lalu dan pengawal keselamatan, S Sivabalan pada 20 Mei. Kedua-duanya meninggal dunia di hospital selepas ditahan di balai polis Gombak.
Satu laporan polis dibuat pegawai penjara hari ini, yang dilihat FMT, memetik seorang doktor di Hospital Kluang yang menyatakan Surendran meninggal dunia akibat “kejutan septik dengan kegagalan pelbagai organ”.
Dia dibawa ke hospital dari Penjara Simpang Renggam selepas mengadu mengalami sakit abdomen yang teruk.
“Kami perlu menerima hakikat dengan pemergiannya, tetapi saya rasa wujud ketidakadilan di sini,” kata ibu Surendran, Kumatameri Asirvatham.
“Kami merasakan ia membabitkan perbuatan khianat kerana Surendran tiada masalah kesihatan. Beliau baru berusia 21 tahun.”
Surendran ditahan di Petaling Jaya pada Jun 2020 dan direman empat hari sebelum ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Dia kemudiannya dihantar ke pusat pemulihan Muar Ogos lalu, kali terakhir ahli keluarga menemuinya. Surendran, yang genap 21 tahun Januari lalu, dipindahkan ke Penjara Simpang Renggam pada 25 April lalu.
Kumatameri berkata, beliau menerima panggilan kira-kira 4.30 petang semalam dari seorang pegawai Penjara Simpang Renggam yang memaklumkan Surendran mengalami “sakit teruk di perutnya” dan dia dimasukkan ke Hospital Kluang Selasa lalu.
Selepas menghubungi hospital itu dan mendapat tahu Surendran dalam “keadaan kritikal”, beliau diminta menelefon semula pada sebelah malam untuk bercakap dengan doktor yang boleh memberi lebih banyak maklumat.
Sepupu Surendran, Surenthar Richard, menghubungi Hospital Kluang sekitar 8 malam dan diberitahu keadaan Surendran bertambah teruk.
Ketika beliau menelefon sekitar 1.15 pagi tadi, seorang pegawai polis memberitahu Surenthar yang sepupunya meninggal dunia kira-kira 12.30 pagi.
K Ganesh, peguam yang mewakili keluarga Ganapathy, bersetuju mewakili Surendran.
Ganesh antara mereka yang ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pagi tadi, dengan sekumpulan wakil Pakatan Harapan berhasrat menyerahkan satu memorandum untuk mendesak sebuah pasukan petugas bebas ditubuhkan bagi menyiasat kematian Ganapathy dan Sivabalan.
Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan masuk di pintu masuk KDN.
“Berapa banyak lagi kematian seperti ini perlu berlaku sebelum kerajaan bangkit dan mengambil tindakan?” soalnya.
“Rakyat perlu bangkit dan sedar perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa pun.”