Pekebun Cameron Highlands rayu pusat pengumpulan sayur buka hingga 10 malam

Pekebun Cameron Highlands rayu pusat pengumpulan sayur buka hingga 10 malam

Mereka ingin lebih masa untuk membungkus hasil tanaman bagi pengedaran tempatan dan luar negara.

PETALING JAYA:
Pekebun sayur-sayuran di Cameron Highlands mahu pihak berkuasa membenarkan pusat pengumpulan dibuka hingga 10 malam supaya mereka ada lebih banyak masa membungkus hasil sayuran untuk diedarkan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor, berkata pusat itu, yang mengumpulkan hasil tanaman dari ladang sayur terbesar di negara ini, berdepan kekangan akibat prosedur operasi standard (SOP) terbaru yang hanya membenarkan perniagaan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

Ramli, Ahli Parlimen Orang Asli pertama di negara ini, berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, yang mahu pusat pengumpulan itu dibenarkan beroperasi lebih lama kerana mereka terkejar-kejar untuk membungkus hasil tanaman.

“Pihak pekebun sayur memohon jika dapat dipanjangkan tempoh masa untuk operasi pusat pengumpulan sayur kepada 10 malam agar kuantiti yang dikeluarkan dapat menampung permintaan dari dalam dan luar negara,” katanya kepada FMT.

Ramli Mohd Nor.

Beliau akan mengemukakan isu itu kepada kerajaan dan Majlis Daerah Cameron Highlands.

Katanya, sektor pertanian di Cameron Highlands tidak menghadapi kesukaran untuk menghantar produk ke luar negara, termasuk ke Singapura, kerana kebanyakan lori pengangkutan kebiasaannya akan memulakan perjalanan pada waktu malam.

Beliau berkata, selaras SOP terkini, kerajaan telah memberi kebenaran kepada lori berkenaan untuk bergerak menghantar sayur-sayuran atau produk pertanian bila-bila masa, dengan syarat mereka mempunyai surat dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimanapun, katanya, terdapat kekurangan tenaga kerja yang serius akibat wabak, dengan dilaporkan bulan lalu Cameron Highlands memerlukan 8,000 pekerja lagi supaya ladang-ladangnya dapat beroperasi dengan kapasiti optimum.

“Sebenarnya, permasalahan (kekurangan pekerja di ladang) ini telah lama dihadapi oleh pengusaha kebun,” katanya.

“Disebabkan wabak Covid-19 yang melanda, kita semua maklum bahawa kemasukan pekerja warga asing masih lagi dibekukan. Oleh itu, pengusaha kebun terpaksa meminimumkan kawasan perusahaan mengikut kapasiti pekerja masing-masing.

“Bagaimanapun, saya percaya sektor pertanian masih lagi dapat bertahan untuk memenuhi permintaan sayur-sayuran bagi rakyat Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.