
Prasarana menerusi kenyataan berkata, bahagian paling mencabar adalah untuk memisahkan gerabak kedua-dua tren dan menaikkan enam gerabak yang tergelincir kembali ke atas landasan.
“Sehingga malam tadi, lima daripada enam gerabak (tergelincir) berkenaan sudah berjaya dinaikkan.
“Kerja hari ini tertumpu kepada gerabak terakhir dan berkaitan proses mengeluarkan tren, yang kemudiannya akan dibawa ke Depoh LRT Kelana Jaya di Subang,” katanya.
Operasi melibatkan kakitangan Jabatan Penyelenggaraan Rangkaian Trek, Jabatan Stok Kereta (Rolling Stock), dan Jabatan Komunikasi dan Semboyan (Signalling and Communication Wayside) daripada kelima-lima rangkaian rel iaitu LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, MRT Laluan Kajang, MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Monorel.
“Kerja pemulihan memasuki hari kedua hari ini dengan kira-kira 50 staf kejuruteraan dan teknikal bekerja pada setiap syif. Kerja pemulihan berjalan lancar dan dijangka selesai dalam masa tiga hari seperti yang diumumkan Menteri Pengangkutan,” katanya.
Isnin lalu, dua tren LRT bertembung dalam terowong di Laluan Kelana Jaya yang mengakibatkan 213 penumpang tercedera.
Seramai 64 penumpang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, dengan enam daripadanya dalam keadaan kritikal, manakala tiga memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dua mangsa memerlukan pembedahan otak, manakala seorang lagi memerlukan rawatan resusitasi serebrum, menurut laporan.