Pampasan lebih tinggi kepada mangsa kemalangan LRT, kata Tajuddin

Pampasan lebih tinggi kepada mangsa kemalangan LRT, kata Tajuddin

Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau akan mencadangkannya pada mesyuarat lembaga pagi esok.

Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini mengumumkan bantuan serta merta RM1,000 akan diberi kepada setiap mangsa kemalangan LRT.
PETALING JAYA:
Seramai 213 penumpang yang cedera dalam kemalangan tren LRT di Laluan Kelana Jaya dua hari lalu akan diberikan pampasan lebih tinggi, selain kos perubatan mereka ditanggung, kata Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin berkata, beliau sudah memanggil mesyuarat lembaga diadakan pagi esok, dan beliau akan mencadangkan pakej pampasan lebih tinggi kepada mangsa.

Beliau sebelum ini mengumumkan bantuan serta merta RM1,000 bagi setiap mangsa.

“Saya akan mengemukakan cadangan berkenaan pampasan kepada lembaga esok pagi.

“Kami akan lihat bil perubatan mereka. Jumlah berlainan mungkin dibayar kepada mangsa yang cedera parah, dan mereka yang tidak mampu bekerja.

“Kami akan lihat berdasarkan kes,” katanya kepada FMT.

Tajuddin, yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, berkata beliau telah mengambil perhatian desakan orang ramai agar pampasan lebih tinggi diberikan kepada penumpang terjejas.

“Kami mendengar semua pandangan,” katanya.

Tajuddin sebelum ini dilaporkan berkata, Prasarana akan bertanggungjawab penuh atas kemalangan itu.

“Kami memohon maaf kepada semua mangsa dan orang ramai,” katanya.

Pada malam Isnin, dua tren LRT bertembung dalam terowong di Laluan Kelana Jaya, mengakibatkan 213 penumpang cedera.

Seramai 64 penumpang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, dengan enam daripadanya dalam keadaan kritikal, dan tiga memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dua daripada mangsa memerlukan pembedahan otak, manakala seorang lagi memerlukan rawatan resusitasi serebrum, menurut laporan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.