Kerajaan Sarawak terus berfungsi walaupun selepas penggal DUN tamat

Kerajaan Sarawak terus berfungsi walaupun selepas penggal DUN tamat

Ini selepas Ketua Menteri, Abang Johari Openg menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Abang Johari Openg berkata, Agong dan Gabenor Sarawak akan menentukan bila DUN Sarawak akan dibubarkan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Sarawak akan terus berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat 2021, walaupun selepas penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir 6 Jun ini.

Ini menyusul Ketua Menteri, Abang Johari Openg menghadap secara maya Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan berkata, Agong dan Gabenor Sarawak akan menentukan bila DUN akan dibubarkan, berdasarkan nasihat Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, Kementerian Kesihatan, polis dan Angkatan Tentera Malaysia.

“Seri Paduka Baginda telah menasihati kerajaan negeri agar berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memandang keadaan Covid-19 yang agak membimbangkan.”

Turut hadir bersama Abang Johari ialah Timbalannya, Douglas Uggah Embas, James Jemut Masing dan Awang Tengah Ali Hasan, serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dr Sim Kui Hian dan Tiong King Sing.

Sebelum ini, ketua menteri itu dilaporkan memohon menghadap Agong berhubung pembubaran DUN ketika darurat, selepas menemui Gabenor Sarawak, Abdul Taib Mahmud.

Penggal DUN semasa akan berakhir secara automatik 6 Jun ini, lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama diadakan selepas pilihan raya, dengan Perlembagaan negeri menyatakan pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Bagaimanapun, pilihan raya tidak boleh diadakan ketika darurat, yang akan berkuat kuasa sehingga 1 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.