
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad.berkata, Malaysia akan akur dengan dengan keputusan berhubung kebenaran mengerjakan ibadah haji dan kuota jemaah negara daripada kerajaan Arab Saudi.
“Kerajaan Malaysia akan mengumumkan keputusannya kepada bakal jemaah haji sejurus selepas mendapat kenyataan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi,” kata beliau dalam kenyataan, semalam.
Zulkifli berkata, TH bagaimanapun tetap melakukan persiapan operasi di tanah air sementara mendapat keputusan rasmi Arab Saudi dan mengambil maklum aspek berkenaan susulan beberapa sebaran media kedua-dua negara berhubung perjalanan ibadah bagi musim haji kali ini.
“TH membuat persediaan operasi haji di tanah air dan Tanah Suci sejak tahun lalu bagi memastikan kelancaran urusan bakal haji Malaysia tahun ini.
“Bagi operasi haji tanah air, persiapan awal diperkukuhkan dengan mengambil kira amalan norma baharu di stesen berlepas ketika bakal haji melapor diri,” kata beliau.
Tambah beliau, persiapan sudah dilakukan di Makkah dan Madinah dari segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan dan sebagainya.
“TH turut mengadakan beberapa siri mesyuarat dan bengkel secara berkala dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi persediaan kesihatan dan keselamatan jemaah haji di Tanah Suci,” katanya.
Bermula Mac lalu, Zulkifli berkata, TH menyarankan bakal jemaah haji Malaysia mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang www.vaksincovid.gov.my bagi memenuhi prasyarat wajib ditetapkan Arab Saudi iaitu pengambilan vaksin Covid-19.
“Bakal jemaah juga diminta bersedia mengambil suntikan wajib vaksin meningococcal,” katanya, sambil menasihatkan bakal jemaah bersabar dan membuat persiapan sebaiknya dari sudut ilmu, fizikal serta kerohanian, selain mendaftar untuk pengambilan vaksin Covid-19.