
Cadangan itu disemak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan didedahkan kepada umum bagi tujuan rundingan awam hari ini.
PBAPP mencadangkan kenaikan RM3 hingga RM15 untuk pengguna domestik, bergantung kepada penggunaan. Ini dijangka mempengaruhi 75% akaun domestik.
Pengguna komersial akan melihat kenaikan antara RM3 dan RM18.80, dan kenaikan maksimum RM69.19 bagi mereka yang menggunakan lebih dari 100 meter padu air setiap bulan.

PBAPP turut bercadang meletakkan syarikat-syarikat yang pada asalnya dalam kategori “Perniagaan Khas” bawah satu kategori dengan pengguna komersial.
Pulau Pinang mempunyai tarif air termurah di negara ini, dengan kebanyakan pengguna domestik membayar secara purata RM5.55 sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Jaseni Maidinsa berkata, tarif sedia ada yang rendah menyebabkan PBAPP tidak dapat mengumpulkan dana mencukupi bagi perbelanjaan modal yang dicadangkan, selain melabur dalam infrastruktur bekalan air yang baharu.
“Walaupun Pulau Pinang mempunyai bekalan air yang mencukupi ketika ini, ia tidak boleh kehabisan air dalam masa terdekat. Dalam industri air, bekalan mesti sentiasa melebihi permintaan.
“Oleh itu, PBAPP mesti terus melabur dalam pembangunan, penaiktarafan dan penyelenggaraan infrastruktur bekalan air untuk mengekalkan status quo ini pada tahun-tahun akan datang,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Dalam keputusannya meluluskan kenaikan tarif seperti dicadangkan PBAPP, SPAN berkata, syarikat bekalan air berkenaan memerlukan dana untuk memenuhi permintaan akan datang, selain daripada ingin mengelakkan pembaziran air akibat tarif yang rendah.
Turut dinyatakan bahawa sembilan loji rawatan air Pulau Pinang, dengan kapasiti 1,599 juta liter sehari (JLH), hanya digunakan sebanyak 1,105 JLH tahun lalu, dengan margin rizab 31%, iaitu pada paras yang sihat.
SPAN berkata, walaupun margin rizab berada pada tahap yang sihat, penyesuaian tarif diperlukan kerana sistem perpaipan yang usang perlu diganti bagi mengurangkan kebocoran dan kadar air tidak terhasil (NRW), selain menangani peningkatan keperluan bekalan air di Balik Pulau dan kawasan sekitarnya dan untuk Projek “Penang South Reclamation” (PSR) menjelang 2030.
SPAN juga mendedahkan bahawa cadangan perbelanjaan modal PBAPP untuk melaksanakan projek berkaitan air dijangkakan sekitar RM500.8 juta.

Jaseni berkata, kenaikan tarif dapat mengurangkan kebergantungan negeri itu pada Sungai Muda sebagai sumber air mentah, kerana sebarang kejadian atau perkembangan negatif di hulu sungai boleh mempengaruhi bekalan air di Pulau Pinang.
Katanya, tarif baharu akan mencukupkan dana Pulau Pinang bagi membina loji rawatan air baharu yang dicadangkan di Sungai Kerian, untuk merawat air mentah dari Sungai Perak bagi memastikan bekalan air cukup menjelang 2050.
Beliau berkata, dana yang berlebihan akan digunakan untuk menaiktaraf loji rawatan air sedia ada di Butterworth yang membekalkan air kepada 80% kawasan di Pulau Pinang melalui skim bekalan air untuk mengambil air mentah dari Sungai Prai dan loji nyahgaram.
Penduduk Pulau Pinang adalah pengguna air terbesar di negara ini dengan penggunaan sebanyak 299 liter per kapita per hari, berbanding penggunaan purata nasional sebanyak 240 liter per kapita per hari.
Mereka yang ingin mengambil bahagian dalam tinjauan SPAN boleh melawati https://apps.span.gov.my/rundingan_awam/pen804.
Tinjauan dibuka mulai hari ini hingga 6 Jun.