Kenapa Selangor catat kes Covid-19 tertinggi?

Kenapa Selangor catat kes Covid-19 tertinggi?

Pengerusi Selangor Task Force Covid-19 menjawab persoalan itu selain soalan lazim lain di Facebook.

Saringan besar-besaran di seluruh negeri perlu dibuat untuk mengenal pasti individu positif pada peringkat awal dan menyekat risiko penularan lebih besar, kata Dr Dzulkefly Ahmad.
PETALING JAYA:
Saringan bersasar dijalankan di Selangor sejak hujung tahun lalu menjadi antara sebab negeri itu mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi kebelakangan ini, menurut Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly yang juga Pengerusi Selangor Task Force Covid-19 (STFC) berkata inisiatif itu diperluas ke seluruh negeri sejak 8 Mei.

“Dijangka angka akan terus tinggi sebab saringan akan dilakukan ke atas semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Selangor,” katanya di Facebook yang menjawab beberapa soalan lazim, hari ini.

Bilangan kes juga akan kekal tinggi disebabkan kelewatan melakukan pengesanan kontak dan pengasingan, dan ini menyebabkan limpahan yang menjadi kes sporadik dalam komuniti.

“Sekarang ini kes komuniti sudah setanding, bahkan ada daerah dan mukim, serta tempat-tempat kerja dan kilang, yang melebihi kes kluster,” katanya yang juga bekas menteri kesihatan.

Menjawab soalan mengapa Selangor masih meneruskan saringan sedangkan kes semakin meningkat, beliau berkata, langkah tersebut perlu diambil untuk mengenal pasti individu positif pada peringkat awal dan menyekat risiko penularan lebih besar.

“(Ia juga bagi) mengenalpasti lokaliti merah yang berisiko,” katanya.

Beliau berkata, saringan besar-besaran juga dapat mendidik masyarakat tentang bahaya Covid-19, terutama kes tidak bergejala.

Menurutnya, Selangor memutuskan untuk melakukan saringan besar-besaran disebabkan populasinya yang besar, dengan seramai 6.9 juta penduduk.

Selain saringan, katanya satu lagi sebab adalah sektor ekonomi Selangor adalah yang terbesar menyumbang kepada ekonomi negara (25% daripada KDNK).

Oleh itu, penularan di kilang dan industri, serta tempat tinggal pekerja, akan membawa impak buruk kepada produktiviti dan ekonomi serta pendapatan pekerja, terutamanya jika dikenakan penutupan atau perintah kawalan pergerakan (PKP), katanya.

Dzulkefly berkata kepada FMT, jika negara tidak berupaya mengejar kepantasan penularan, “kita akan sentiasa ketinggalan”.

“Kita harus mempercepat usaha kita untuk mengatasi virus,” katanya sambil menambah, ini termasuk pengujian, pengesanan kontak dan vaksinasi.

Hari ini Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan Selangor mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi dengan 2,049 kes.

Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 6,509 kes Covid-19 baharu dicatatkan di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.