
Dalam kenyataan PH berkata, keutamaan ketika ini ialah melindungi bilangan maksimum rakyat dalam jangka masa singkat susulan masalah kekurangan dos vaksin yang boleh diatasi dengan menunda pemberian dos kedua.
Menurut kenyataan itu, strategi sama digunakan di United Kingdom pada November 2020 dan semakin banyak negara melaksanakan strategi penundaan dos kedua, termasuk Singapura dan India.
“Walaupun kerajaan berulang kali memberi jaminan Malaysia mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi, namun kelewatan pemberian vaksin menunjukkan sebaliknya.
“Terdapat kekurangan bekalan vaksin yang nyata dan kesannya ternyata dengan melihat trend yang membimbangkan di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memberi contoh penyelidikan terbaharu oleh Universiti Birmingham dengan kerjasama Kesihatan Awam England yang mendapati pemberian vaksin Pfizer BioNTech booster 12 minggu selepas dos pertama berbanding dengan tiga minggu menghasilkan tindak balas antibodi yang jauh lebih kuat.
“Penyelidik dari Universiti Oxford juga mendakwa pada Feb bahawa ketika pemberian dos kedua vaksin mereka ditunda selama 12 minggu, tindak balas antibodi dilaporkan lebih dua kali ganda dibandingkan dengan normal,” menurut kenyataan itu.
Majlis Presiden PH juga berkata, kerajaan perlu menerima hakikat ini dan menyedari bahawa wujud keperluan yang sangat mendesak untuk melaksanakan strategi yang terbukti secara saintifik ini.
“Kami amat menyedari dan merasai kekecewaan serta keresahan majoriti rakyat Malaysia kerana terpaksa menunggu untuk pengambilan vaksin dan menghadapi risiko dijangkiti Covid-19 yang semakin tinggi.
“Kerajaan seolah-olah tidak tahu dan tidak cekap dalam menanggapi perubahan pesat dalam situasi pandemik terkini,” menurut kenyataan itu.