Keluarga berkerusi roda jual tisu, pasang impian mulakan dapur awan

Keluarga berkerusi roda jual tisu, pasang impian mulakan dapur awan

Ibu tunggal berharap seseorang dapat membantunya memulakan dapur awan supaya boleh menjual makanan yang dimasak di rumah.

Gyatsri Vengatraman bersama ayah dana tiga anaknya di luar apartmen mereka di Relau, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Seorang ibu tunggal dan keluarganya yang menjual tisu di luar sebuah pusat membeli-belah di Bukit Jambul di sini, tertanya-tanya bagaimana mereka dapat menempuhi perintah kawalan pergeraka (PKP) yang menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Keluarga terdiri daripada tiga orang yang semuanya berkerusi roda itu bersama-sama menjual tisu dan alat permainan sejak tiga tahun lalu.

Keadaan tidak sesukar itu sebelum ini, malah ibu tunggal Gyatsri Vengatraman, 30, pernah bercita-cita menjadi peguam, memandangkan kemahiran bertutur dan pengiktirafan diterima sebagai Sasterawati Negeri Selangor ketika berusia 13 tahun.

Tetapi cita-citanya tidak kesampaian apabila dikahwinkan berkahwin dengan seorang lelaki warga India ketika berusia 18 tahun.

Beliau berpindah dari Sepang ke Pulau Pinang pada 2007 kerana suaminya mempunyai pekerjaan di situ, namun malangnya perkahwinan itu tidak bertahan lama sebelum mereka akhirnya berpisah lapan tahun kemudian.

Bekas suaminya pula kembali ke India pada tahun 2015, meninggalkannya untuk menguruskan tiga anak dan ayah yang sakit.

Anak lelaki bongsu Gyatsri, Sachin Varma, enam, disahkan menderita palsi serebrum dan cedera pada tulang belakang pada 2016 yang didakwa akibat didera pengasuh. Disebabkan itu, dia tidak dapat berjalan dan kekal berkerusi roda.

Gyatsri terpaksa berhenti bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Pulau Pinang untuk menjaga anaknya, namun tetap aktif sebagai anggota RELA sambilan selain membuat pelbagai kerja rencam bagi menampung keluarga.

Lebih malang lagi apabila rumahnya di Puncak Erskine terbakar pada 2018, dan ketika bergegas menyelamatkan anak-anaknya, beliau terjatuh menyebabkan lutut serta beberapa tulang kaki patah.

Akibatnya, beliau juga kini terpaksa menggunakan kerusi roda.

Beberapa tahun sebelum itu, ayahnya, Vengatraman Padmanathan, terpaksa dipotong kedua-dua kakinya sehingga paras bawah lutut disebabkan kemalangan dan turut berkerusi roda.

Gyatsri dan tiga anak bersama ayahnya, terpaksa mencari kaedah untuk bertahan menjalani kehidupan.

Keluarga itu mula menjual tisu serta barang permainan di luar sebuah bank di Macallum Street Ghaut selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Jason Ong mendapatkan mereka sebuah flat kerajaan berhampiran kawasan itu, dengan sewa RM172 sebulan.

Sementara Gyatsri dan ayahnya menjual barang-barang mereka dengan jarak kira-kira lima kaki dari rumah, dua lagi anaknya Sanggit Varma, 12, dan Sasmita Varma, 10, menjaga adik mereka.

Mereka menjual tisu dengan harga 50 sen hingga RM1 sebungkus, bergantung pada jenis.

Beliau kemudian menggunakan wang simpanannya untuk mendirikan sebuah gerai makanan India di sebuah restoran Cina untuk makanan bawa pulang, yang mendapat permintaan tinggi.

Namun ini turut terjejas akibat kenaikan sewa dan bilangan pelanggan berkurangan berikutan pelaksanaan PKP beberapa kali.

Dengan hanya bantuan wang kebajikan dan tanpa pendapatan, mereka tidak dapat membayar sewa rumah, tetapi mujur ada seorang lelaki baik hati yang mendengar tentang kesusahan mereka dan menempatkan keluarga itu di sebuah pangsapuri di Relau secara percuma.

Gyatsri dan keluarganya kemudian mula menjual tisu di luar Kompleks Bukit Jambul tidak jauh dari pangsapuri baru mereka, dengan menaiki bas RapidPenang setiap pagi untuk ke kompleks berkenaan.

“Kami sebelum ini meraih RM30 hingga RM40 sehari dengan menjual tisu. Kami memperoleh sedikit lebih pendapatan apabila menjual makanan, memang ketika itu sudah cukup bagus bagi kami.

“Saya gembira kerana dapat menjalani kehidpuan, namun ketika PKP ini, tidak ada seorang pun datang membeli,” katanya.

Beberapa individu yang melihat keluarga berkenaan menjual tisu di pinggir jalan yang sepi ketika PKP memaklumkan perkara itu di Facebook Penang Kini, yang menarik perhatian ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam.

Kumaresan berkata akan membantu keluarga berkenaan mendapatkan bantuan kebajikan tambahan. Pada masa ini, Gyatsri menerima bantuan kebajikan RM770 sementara ayahnya menerima RM470 dari Pertubuhan Keselamatan Sosial kerana kehilangan kakinya dalam kemalangan ketika perjalanan pulang dari tempat kerja.

Kumaresan turut memberikan bantuan segera kepada keluarga dalam bentuk wang tunai dan barang makanan serta meminta mereka hanya duduk di rumah susulan peningkatan kes Covid-19.

Gyatsri berkata, beliau berterima kasih atas bantuan itu dan berharap seseorang dapat membantunya memulakan dapur awan kerana beliau boleh menjual makanan yang dimasak di rumah.

Beliau juga berharap seseorang dapat membantu menjaga anak bongsu dan ayahnya, yang menghidap penyakit jantung.

Ibu tunggal itu berkata, beliau perlu memulihkan semula lututnya supaya dapat berjalan semula. Katanya, keadaan lututnya bertambah buruk apabila pembedahan yang dijalaninya sebelum ini gagal dan pihak hospital telah meletakkan namanya dalam senarai menunggu.

“Apabila keadaan menjadi lebih baik, saya benar-benar ingin belajar undang-undang. Saya dapat merasakan akan menjadi peguam yang baik suatu hari nanti,” katanya kepada FMT.

Pembaca yang ingin membantu Gyatsri boleh menghantar mesej WhatsApp ke Talian Bantuan FMT di 019-3899839. Diingatkan untuk tidak membuat panggilan telefon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.