
Bagi mencapai sasaran memberi vaksin Covid-19 kepada lebih ramai rakyat Pulau Pinang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah menghantar surat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin untuk mendapatkan kebenaran pembelian vaksin secara terus menggunakan dana sendiri.
Beliau juga memberi jaminan akan mengetepikan perbezaan politik bagi menjayakan kempen melawan wabak, termasuk dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covids19 Kebangsaan (PICK).
“Tawaran sumbangan dua (2) juta dos vaksin kepada Pulau Pinang telah menjadi satu kontroversi yang menyimpang daripada tujuan asal pihak kerajaan negeri membangkitkan perkara berkenaan pada sidang media sebelum ini,” kata Chow dalam kenyataan hari ini.
“Adalah ditegaskan bahawa bukan menjadi hasrat kerajaan negeri untuk berperang mulut dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan persekutuan.
“Sebaliknya, matlamat utama kerajaan negeri Pulau Pinang adalah untuk mendapatkan bekalan vaksin tambahan pada kadar segera bagi memastikan kadar vaksinasi boleh dipercepatkan demi melindungi nyawa serta menyelamatkan ekonomi rakyat negeri ini secara keseluruhan.”
Beliau berjanji, bagi pihak kerajaan negeri, untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan “sumbangan” yang dikatakan “scam”, dengan Khairy mendakwa tawaran itu didapati datang daripada syarikat yang tidak wujud di Hong Kong.
Chow berkata, beliau mengambil maklum akan laporan media yang menyatakan sebaliknya, individu bernama Yong Chee Kong dan syarikatnya wujud.
Namun, beliau menyangkal dakwaan Yong bahawa surat yang dihantar kepada kerajaan Pulau Pinang menawarkan sumbangan dua juta dos vaksin sebenarnya ditulis oleh DAP Pulau Pinang, menggunakan alamat peribadinya.
“Ini adalah satu dakwaan yang amat berat dan tidak berasas. DAP Pulau Pinang tidak pernah menulis surat seperti didakwa,” kata Chow, yang juga Pengerusi DAP negeri.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh pihak DAP Pulau Pinang di Balai Polis Jalan Patani pada hari ini, 21 Mei 2021.”
Berkenaan permohonan rasmi kerajaan Pulau Pinang untuk membeli vaksin menggunakan dana sendiri, Chow tidak menyatakan berapa banyak dos vaksin yang ingin dibeli, mahupun kosnya.
“Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan memberi maklum balas positif terhadap permohonan berkaitan,” kata beliau.