Sekatan penuh tak akan berjaya kekang Covid-19, kata pakar kesihatan awam

Sekatan penuh tak akan berjaya kekang Covid-19, kata pakar kesihatan awam

Sekatan bersasar dan larangan perjumpaan sosial adalah kunci untuk melandaikan lekuk pandemik, kata Dr Leena Meghaney.

GEORGE TOWN:
Seorang pakar kumpulan perubatan antarabangsa berkata sekatan penuh bertujuan untuk membendung penularan Covid-19 tidak akan berjaya, kerana ia hanya akan menyebabkan kesulitan ekonomi kepada sebahagian besar masyarakat.

Ketua wilayah Doktor Tanpa Sempadan atau Medecins Sans Frontieres (MSF) yang berpusat di New Delhi Dr Leena Menghaney, berkata tumpuan perlu diberikan kepada larangan mengadakan perjumpaan sosial, terutama yang berlangsung di dalam rumah untuk memastikan kadar jangkitan dapat dikurangkan.

“Isu sekatan adalah sensitif. Ia keputusan yang sukar untuk dibuat mana-mana kerajaan. Mengadakan sekatan penuh sewenang-wenangnya di seluruh negara tidak akan benar-benar berkesan kerana ia menimbulkan banyak kesulitan ekonomi kepada ramai orang.

“Ini akan memberi kesan buruk kepada pengusaha gerai, yang bertahan dengan gaji harian, meski pada masa sama, ia akan melindungi masyarakat daripada jangkitan,” katanya semasa taklimat media MSF mengenai Covid-19 menerusi Zoom malam tadi.

Dr Leena Menghaney.

Katanya daripada mengadakan sekatan, tumpuan perlu diberikan kepada acara sosial, ketika Majlis Keselamatan Nasional (MKN) bersiap sedia untuk melakukan sekatan penuh, di tengah-tengah krisis Covid-19 yang semakin serius di negara ini.

“Kami melihat keadaan ini di India. Lebih banyak perlu dilakukan untuk mengurangkan aktiviti seperti majlis perkahwinan, aktiviti keagamaan dan perjumpaan sosial yang lain.

“Kita perlu terus menghentikan perhimpunan di dalam dan di luar rumah,” kata pakar kesihatan awam itu.

Dalam perkembangan lain, Leena menggesa pihak berkuasa kesihatan di negara ini untuk melabur dalam penjujukan genom untuk mengesan jenis virus baharu, selain Covid-19.

Katanya, penjujukan boleh membantu rawatan ketahanan antimikrobial (AMR) dan rawatan anti tibi (D-RTB), yang disifatkannya sebagai “ancaman terbesar berikutnya”, dalam jangka panjang.

“Negara-negara membangun sering berkata teknologi penjujukan adalah sesuatu yang mewah. Tetapi hari ini, penjujukan adalah tindak balas yang anda perlukan. Dengan cara ini, anda tahu bagaimana strain virus bermutasi.

“Perkara ini telah lama dibangkitkan. Sekiranya Malaysia mempertimbangkan untuk melabur bagi meningkatkan kapasiti penjujukannya, ini bukan hanya akan memberi manfaat kepada penyelidikan Covid-19 tetapi juga ketika berdepan AMR dan D-RTB di masa depan. Ini adalah pelaburan terbaik yang boleh anda buat hari ini.

“Sebagai pembuat dasar kesihatan awam, saya tidak akan teragak-agak untuk membenarkan Kementerian Kesihatan melabur dalam pengembangan kapasiti untuk penjujukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.